Zulfahmi Tak Gemar Pelumba Ikut Trend Berlatih Dengan Basikal, Motocross

Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, lebih gemar jika setiap pelumba menggunakan masa latihan dengan motosikal berbanding aktiviti lain.

Dia berkongsi pendapatnya ketika sesi Facebook Live di akaun Facebook miliknya.

Bagi Zulfahmi, sebagai pelumba motosikal, sesi latihan seharusnya kekal dengan bermotosikal tapi sebaliknya ramai yang gemar berlatih mengikut trend antaranya berbasikal.

“Latihan perlu berjalan mengikut benda yang betul supaya kita tak hilang fokus sebagai pelumba motosikal.

“Zaman sekarang cukup senang nak hilang arah dengan sesi latihan kita sebab dengan adanya media sosial kita nampak ramai pelumba MotoGP main basikal, motorcross.

“Tapi pada pandangan saya, latihan perlu mengikut apa sukan kita iaitu perlumbaan motosikal profesional. Jadi kita perlu banyakkan masa atas motosikal tak kira apa pun jenis motosikal tersebut.

“Yang penting kita menunggang motosikal di litar supaya dapat perbaiki skil,” jelasnya.

Bagaimanapun, Zulfahmi akui bimbang dengan sikap pelumba yang gemar ikut trend semasa.

“Saya nampak sekarang ini pelumba terlalu mengikut trend latihan pelumba profesional. Bila mereka kayuh basikal, semua nak kayuh basikal.

“Bila pelumba pro main motocross, semua nak main motocross.

“Tapi apakah keperluan yang palig penting untuk berada dalam keadaan terbaik dalam perlumbaan? Bagi saya adalah berlatih dengan motosikal di litar.

“Jika ikutkan pemain tenis, berlatih dengan bermain tenis. Atlet berbasikal berlatih dengan kayuh basikal setiap hari. Pelari maraton pula lari setiap hari.

“Jadi disebabkan sukan kita adalah lumba motosikal jadi sudah tentu latihan juga adalah lumba motosikal,” tambah Zulfahmi lagi.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]