Ducati Malaysia telah pun membuka tempahan bagi tawaran terbaru 2021, Ducati Multistrada V4S.
Pengumuman pra-tempahan itu dibuat menerusi saluran media sosial Ducati Malaysia namun tiada harga rasmi diumumkan setakat ini.
Ducati Multistrada V4S merupakan motosikal segmen adventure yang telah pun dilancarkan secara global menerusi Ducati World Premier hujung tahun lalu.
Ducati Multistrada V4 ini didatangkan dengan enjin serba baharu, dinamakan Granturismo V4 yang bersesaran 1,158cc yang menawarkan 170hp pada 10,500rpm dan 125Nm pada 8,750rpm.
Unit ini tidak lagi mengguna pakai injap Desmodromic seperti jentera Ducati lain sebaliknya menerapkan injap spring (valve spring) sekaligus meletakkan ‘major service interval’ berada pada 60,000km berbanding 30,000km sebelum ini.
Ducati menawarkan tiga varian Mulitstrada ini untuk pasaran dunia, V4 (standard) lengkap dengan warna Ducati red dan rim serba hitam, V4 S hadir dengan pilihan warna Aviator Grey serta fungsi quickshifter (up/down) manakala V4 S Sport ditawarkan dengan livery Sport serta ekzos Akrapovic (jenis gentian karbon) dan fender depan gentian karbon.
Antara ciri paling mencuri tumpuan pada model baharu ini adalah penggunaan sistem radar dari Bosch (depan dan belakang) yang menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ serta blind spot detection yang sebelum ini hanya terdapat pada kenderaan empat roda.