KTM Mahu Danilo Petrucci Di Rali Dakar 2022

Pelumba Tech3 KTM, Danilo Petrucci, telah pun kehilangan tempatnya di MotoGP musim depan setelah pasukan itu menandatangani khidmat dua pelumba baharu.

Tech3 bakal mempertaruhkan Remy Gardner dan Raul Fernandez bagi musim 2022 sekaligus menyaksikan Petrucci dan Iker Lecuona ketiadaan pasukan.

*Raul Fernandez, KTM Ajo Moto2

Bagaimanapun, dalam usaha memastikan Petrucci terus kekal bersama KTM, pasukan itu menerusi CEO, Stefan Pierer, memaklumkan mereka mahu pelumba Itali itu mewakili KTM di Rali Dakar 2022 di Arab Saudi.

“Danilo seorang yang baik.

“Sebab itu kami mahu dia kekal bersama kami. Saya telah pun menawarkan dia untuk berlumba bersama kami di Rali Dakar 2022.

“Pada awalnya dia seakan tidak percaya, beraksi di Dakar merupakan impiannya dan dia juga sering mengutarakan kepada kami.

“Projek ini akan membuka pelbagai kemungkinan dari aspek pemasaran dan pengedaran di Itali,” jelasnya.

Pada masa sama, Pierer turut menegaskan Petrucci tetap akan bersama KTM.

*Danilo Petrucci, Tech3 KTM MotoGP

“Kami tidak akan lepaskan Danilo (Petrucc). Kami telah memberitahu pengurus off-road KTM, Robert Jonas, bahawa kami perlukan pelumba Dakar keempat dan Danilo adalah orangnya,” tambah Pierer.

Penjelasan Pierer ini sekaligus menafikan dakwaan KTM mahu Petrucci sebagai pelumba uji pasukan itu bermula musim depan.

“Kami telah pun mengesahkan Dani Pedrosa dan Mika Kallio untuk 2022,” ujar Pierer lagi.

Bagaimanapun, sejauh manakah kebenaran tawaran berlumba di Dakar 2022 masih lagi tidak dapat disahkan apatah lagi tindakan ini mungkin sekadar langkah KTM untuk menyelamatkan imej mereka yang sebelum ini dikritik ekoran mengumumkan perpindahan Fernandez ke Tech3 sewaktu Petrucci sedang beraksi di sesi kelayakan GP Styria, Sabtu lalu.

Sementara itu, saingan MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Red Bull Ring. – GPOne

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]