BMW M 1000 RR Masuk Malaysia Lewat 2021 – Harga Jangkaan RM290k

Hampir setahun selepas BMW memperkenalkan M 1000 RR untuk pasaran global, jentera superbike itu akhirnya akan memasuki pasaran Malaysia.

Berdasarkan info yang diperolehi, tempahan bagi M 1000 RR itu telah pun dibuka dengan hanya beberapa unit sahaja yang akan dipasarkan disini.

Pada masa sama, kami dimaklumkan model tersebut akan ditawarkan sekitar RM290 ribu dan akan memasuki pasaran antara bulan September dan Oktober.

Pelancaran M 1000 RR tahun lalu sememangnya menjadi topik perbualan ekoran tampil sebagai jentera superbike paling berkuasa pernah dihasilkan BMW.

Dibina berasaskan S 1000 RR, model baharu dengan lencana M itu meneruskan tradisi BMW sebagai lambang jentera berprestasi tinggi.

Hasilnya, enjin 999cc 4-inline dengan penyejukan cecair dan teknologi ShiftCam ini menawarkan 212hp pada 14,500rpm dan 112Nm pada 11,000rpm.

Bagi meningkatkan lagi prestasi dan tahap efisien enjin, M 1000 RR ini juga dilengkapi dengan corong kemasukan udara boleh ubah dengan bantuan servomotor yang berkemampuan mengubah saiz corong sewaktu kelajuan tinggi.

Hasilnya terdapat peningkatan tork yang ketara dari 6,100rpm kepada 9,500rpm.

Pada masa sama, BMW M 1000 RR ini juga didatangkan dengan ekzos titanium yang menggunakan dua ‘catalytic converters’ tiga arah dan didakwa hanya seberat 7kg berbanding 11kg yang terdapat pada S 1000 RR.

Empat mod tunggangan ditawarkan kepada penunggang menerusi Raid, Road, Dynamic dan Race namun BMW turut menawarkan tiga mod Race Pro boleh laras mengikut cita rasa.

Sementara itu, fork USD 45mm depan masih sama seperti yang terdapat pada S 1000 RR namun dengan penggunaan bahan – solid aluminium – yang lebih ringan.

Sistem brek dengan teknologi WSBK turut diguna pakai menerusi kaliper brek M yang dibekalkan oleh Nissin namun telah dimodifikasi bagi menawarkan prestasi lebih efisien dan ringan.

Kaliper ini dipasangkan dengan cakera brek 320mm yang sedikit tebal berbanding pada S 1000 RR dengan dua jenis pad brek ditawarkan BMW bagi kegunaan di jalan raya dan litar.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]