Selepas keputusan ujian positif di Litar Catalunya minggu lalu, Brembo bakal membekalkan cakera brek lebih besar di Red Bull Ring tahun ini.
Keputusan tersebut dibuat setelah mengenal pasti Red Bull Ring sebagai litar yang memberi tekanan tinggi kepada sistem brek jentera di samping mahu mengelakkan insiden membabitkan Maverick Vinales musim lalu berulang.
Untuk itu, Brembo telah menghasilkan cakera brek karbon yang lebih besar, berukuran 340mm yang telah dinaik taraf dengan lubang kecil bagi menghasilakn pengudaraan yang lebih baik sekaligus memastikan suhu kekal di antara 700 hingga 800 darjah.
Difahamkan, Brembo telah memulakan pembangunan sistem brek baharu itu selepas insiden Vinales terpaksa terjun daripada jentera Yamaha YZR-M1 ekoran kegagalan sistem brek.
Meskipun Yamaha memaklumkan insiden tersebut berpunca dari kegagalan sistem brek namun laporan lebih menyeluruh mendapati Vinales tidak menggunakan cakera brek bersaiz 340mm yang telah disyorkan sebaliknya kekal dengan saiz 320mm.
Vinales juga ingkar nasihat Brembo dan berlumba dengan cakera brek yang telah digunakan.
Lantas, pembangunan cakera brek dengan sistem pengudaraan baharu ini akan meningkatkan tahap keselamatan terutamanya di litar seperti Red Bull Ring.
Difahamkan, Brembo akan membekalkan cakera brek baharu ini di Motegi, Thailand dan Sepang musim ini yang telah dikenal pasti antara litar yang memberi tekanan tinggi pada brek. – Motorsport