Lagu negaraku berkumandang di Litar Catalunya, Sepanyol selepas pelumba negara, Syarifuddin Azman @ Damok, berjaya merekodkan kemenangan di Race 1 Kejuaraan CEV Repsol 2021 kategori Moto3.
Pelumba SIC Racing itu berjaya mengetepikan cabaran David Munoz Rodriguez (Avatel-Cardoso Racing) dan Jose Antonio Rueda (Estrella Galicia) untuk menamatkan Race 1 dengan cemerlang.
Bagaimanapun, Damok tidak dapat meneruskan momentum di Race 2 apabila gagal menamatkan perlumbaan yang menyaksikan pendahulu kejuaraan, Daniel Holgado (Aspar Team) muncul juara.
Namun, kejayaan di Race 1 meletakkan Damok kini di kedudukan ke-10 kejuaraan dengan 31 mata sementara Holgado selesa selaku pendahulu dengan 113 mata.
Sementara itu, ‘birthday boy’ Adam Norrodin bangkit dari kekecewaan di Race 1 untuk menamatkan aksi Race 2 di tempat keempat.
Adam yang beraksi pada hari lahirnya, mendduduki tempat keempat di Race 1 sebelum terbabas dengan perlumbaan berbaki 5 lap.
Dia kemudiannya memperbaiki aksi di Race 2 dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dibelakang rakan sepasukan, Lukas Tulovic.
Adam kini menduduki tempat keempat kejuaraan dengan 58 mata, hanya tiga mata dipisahkan Tulovic.
“Perlumbaan di Race 1 agak sukar kali ini. Saya terbabas ketika berada di kedudukan ke-4 dengan baki 4 lap.
“Namun, saya tidak membazirkan peluang di Race 2 dan berjaya memintas Xavi Cardelus di lap terakhir menduduki tempat ke-4.
“Saya tidak sabar untuk kembali beraksi pada pusingan seterusnya di Portugal,” tegas Adam.
Prestasi Adam dan Damok di CEV Repsol 2021 ketika ini meletakkan kedua-dua pelumba negara itu dalam landasan tepat untuk mara ke saingan MotoGP bersama kelas Moto2 dan Moto3 sepertimana yang diharapkan prinsipal pasukan Petronas Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali, sebelum ini.