MV Agusta Bakal Lancar Motosikal 550cc Dalam Tempoh 28 Bulan

Pengeluar motosikal Itali, MV Agusta, semakin meningkat naik dibawah kendalian Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Timur Sardarov.

Sardarov, yang sebelum ini merupakan antara pelabur syarikat Itali itu, mengambil alih sepenuhnya MV Agusta pada 2019.

Sejak pengambilalihan itu, fokus MV Agusta adalah kembali menyusun struktur syarikat dan mula menangani isu kebolehpercayaan serta memperbaiki pengalaman pemilikan pelanggan.

“Antara ojektif utama adalah menyelesaikan isu kewangan syarikat dan kembali kukuhkan asas perniagaan dalam sektor industri dan komersil.

“Hari ini, objektif ini telah pun dicapai dan kami sudah mula meninjau masa depan dengan keyakinan yang lebih tinggi, disokong oleh kejayaan model baharu yang telah dilancarkan.

“Bagi tahun 2021, kami menjangkakan dapat mencapai pulangan lebih EUR100 juta buat julung kalinya dalam sejarah syarikat ini.

“Kami juga merancang melipat gandakan angka ini bagi tempoh tiga tahun akan datang,” jelas Sardarov.

Dalam perkembangan terbaru, Sardarov mendedahkan pihaknya telah menyuntik dana besar dalam usaha memperkembangkan barisan motosikal sedia ada.

Pendedahan terbaru itu menyaksikan MV Agusta bakal sertai segmen motosikal pertengahan dengan model 500cc.

“Kami akan perkenalkan model 550cc dan 950cc. Kedua-dua projek ini akan mengambil masa antara 24 hingga 28 bulan dari sekarang untuk disiapkan.

“Tetapi model 550cc itu akan tiba terlebih dahulu,” tambah Sardarov.

Perkembangan terbaru ini sedikit sebanyak membuktikan permintaan motosikal segmen pertengahan semakin meningkat naik dengan rata-rata jenama besar lain, KTM, Husqvarna, Triumph, Aprilia sudah mula menghasilkan jentera antara 390cc-700cc. – Visordown

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]