MotoGP: Yamaha Tak Puas Hati Dengan Taktik Marc Marquez Ketika Sesi Kelayakan

Pengurus pasukan Yamaha Factory Racing, Massimo Meregalli, meluahkan rasa tidak puas terhadap pelumba Repsol Honda, Marc Marquez membabitkan senario sewaktu sesi kelayakan Q1, semalam.

Meregalli meyifatkan taktik Marquez terhadap Maverick Vinales sebagai tidak adil dan mengharapkan tindakan dikenakan terhadap pelumba itu.

“Nampak gayanya Marc Marquez semakin menghampiri prestasi terbaiknya kerana dia sudah mula buat perangai lama.

“Dia tidak sepatutnya melakukan perkara itu. Saya enggan meluahkan sepenuhnya pendapat jujur saya.

“Saya harap tindakan akan diambil terhadapnya kerana bagi saya, kelakuannya tidak adil,” jelas Meregalli.

Marquez telah mengikut rapat Vinales sebanyak dua kali sewaktu sesi Q1 yang berjalan selama 15 minit di litar Mugello.

Vinales turut dilihat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Marquez sewaktu sesi tersebut.

Pelumba Yamaha itu turut cuba memasuki lorong pit dalam usaha meninggalkan Marquez namun rakan senegaranya itu turut mengekorinya masuk.

Dalam usaha mengejar slot ke Q2, Vinales terpaksa mengejar catatan masa terbaik lantas tiada pilihan selain membiarkan Marquez ekori rapat di belakang.

Bagaimanapun, taktik Marquez seakan menjadi apabila dia berjaya merekodkan catatan masa terpantas di Q1 dan mara ke Q2 sebelum menduduki petak ke-11.

Sementara Vinales, gagal melangkah ke Q2 dan terpaksa bermula di petak ke-13.

Dalam perkembangan sama, sesi kelayakan di Mugello menyaksikan Fabio Quartarao merekodkan petak pertama keempat berturut-turut musim ini.

Dia bakal diiringi gandingan Ducati, Francesco Bagnaia dan Johann Zarco dengan masing-masing berpeluang merampas kedudukan pendahulu kejuaraan dunia ketika ini. – Motorsport

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]