MotoGP: Marquez Mohon Maaf Pada Vinales Namun Anggap Tak Langgar Peraturan

Marc Marquez telah memohon maaf terhadap Maverick Vinales susulan taktik ‘cucuk angin’ (towing) sewaktu sesi kelayakan Q1, GP Itali, semalam.

Pelumba Repsol Honda itu , yang baharu sahaja pulih dari kecederaan menggunakan segala taktik untuk cuba mara ke Q2 di Mugello.

Antara taktik yang diguna pakai adalah dengan ‘cucuk angin’ pelumba factory Yamaha, Vinales.

Vinales yang sedar tindakan Marquez itu turut menyuarakan ketidakpuasan hati sewaktu sesi kelayakan berlangsung dengan beberapa kali menayangkan gerak tubuh tidak setuju dengan taktik tersebut.

Bagaimaapun, tindakan Marquez berhasil apabila dia berjaya merekodkan masa terpantas di Q1 untuk mara ke Q2 sebelum mengesahkan kedudukan ke-11 manakala Vinales yang gagal mara terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-13.

Menurut Marquez, dia mengambil keputusan itu sejurus selesai sesi ujian bebas 4 (FP4).

“Selepas FP4, saya memaklumkan kepada pasukan bahawa saya gagal merasai jentera, jadi saya perlu ‘mengikut belakang’ seseorang.

“Kami menyemak senarai dan mendapati pelumba terpantas adalah Vinales, jadi kami memilih untuk mengekori dia (bukan untuk mara ke Q2).

“Jika ada pelumba lain yang lebih laju, sudah tentu saya akan mengekori pelumba tersebut. Itu sahaja caranya untuk saya memperbaiki tunggangan dan catatan.

“Kalau boleh saya nak berada di kedudukan berbeza dan membiar pelumba lain mengekori saya seperti sebelum ini.

“Saya telah pun berjumpa Maverick (Vinales) dan memohon maaf kerana saya tahu senario ini mungkin tidak adil dan saya juga memberitahu dia ada sebab untuk berasa marah,” jelas Marquez.

Bagaimanapun, Marquez menyifatkan tindakan itu tidak melanggar sebarang peraturan.

“Apa sekalipun, taktik ini tidak melanggar peraturan dan seperti saya jelaskan, saya sekadar mencari solusi untuk mendapatkan keputusan yang terbaik,” tambah Marquez.

Sementara itu, Vinales turut berkongsi sepatah dua kata mengenai insiden tersebut.

“Saya tahu Marc (Marquez) berada di belakang saya. Saya juga tahu jika lap saya bagus, sudah tentu saya akan mara ke Q2 tetapi kelajuan saya tidak berapa baik.

“Secara peribadi, dia (Marquez) tidak mengganggu saya,” jelas Vinales.

Fabio Quartararo, Francesco Bagnaia dan Johann Zarco bakal memulakan GP Itali di barisan pertama, hari ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]