MotoGP: Ducati Cadang Turunkan 8 Jentera Musim 2022, Giat Bincang Dengan VR46 Dan Gresini

MotoGP musim 2022 bakal menyaksikan Ducati menurunkan lapan jentera bergantung kepada perbincangan bersama pasukan VR46 dan Gresini.

Perkara itu didedahkan Pengarah Sukan Ducati di MotoGP, Paolo Ciabatti.

“Kami sedang berbincang mengenai perkara itu. Tawaran untuk menurunkan lapan jentera sedang dalam pertimbangan.

“Kami mampu mengendalikan senario ini dan ini juga membenarkan kami untuk memberi peluang kepada pelumba muda menunggang jentera Ducati,” katanya.

Lebih menarik, Dorna juga sedia maklum mengenai perancangan Ducati bersama VR46 dan Gresini namun tiada sebarang bantahan dinyatakan.

*Jack Miller #43

Ketika ini, Ducati mempunyai enam pelumba menerusi Jack Miller (Ducati), Francesco Bagnaia (Ducati), Johann Zarco (Pramac), Jorge Martin (Pramac), Luca Marini (Avintia) dan Enea Bastianini (Avintia).

*Francesco Bagnaia #63

Bagaimanapun, Ducati bakal kehilangan kerjasama dengan Avintia di kelas premier dengan pasukan itu telah pun mengesahkan penarikan diri sebaik musim 2021 berakhir.

*Johann Zarco #5

Dalam usaha memastikan Marini dan Bastianini terus menunggang jentera Desmosedici, perbincangan bersama VR46 dilihat kritikal dalam meneruskan pembangunan kedua-dua pelumba itu bagi musim 2022.

*Jorge Martin #89

Sementara itu, sekiranya Ducati mencapai persetujuan bersama Gresini, pasukan itu telah pun mengesahkan Fabio di Giannantonio bakal dinaikkan ke kelas premier dari Moto2 musim depan.

Ini bermakna terdapat satu lagi slot kosong yang perlu diisi bagi melengkapkan lapan jentera Ducati musim depan.

Meskipun perbincangan bersama VR46 dan Gresini masih berada di peringkat awal namun dengan tarikh pengesahan pelumba bakal tamat pada Jun, Ducati dijangka bakal membuat pengumuman rasmi mengenai barisan pelumba bagi musim 2022 tidak lama lagi. – GPOne

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]