Zongshen Cyclone RX6 Didedahkan Di China – 70HP, 62Nm!

Zongshen telah pun mendedahkan model terbaru, Cyclone RX6 kepada umum di Shanghai Motor Show 2021, baru-baru ini.

Ini merupakan motosikal segmen touring yang dibangunkan dengan enjin parallel-twin 650cc oleh Norton hasil daripada kerjasama yang ditandatangani pada 2017.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut terbatal dan Norton kini telah pun jadi milik syarikat motosikal India, TVS Motor.

Namun, Zongshen meneruskan projek pembangunan enjin tersebut lalu terhasilnya model RX6.

Menurut Zongshen, Cyclone RX6 ini digerakkan dengan enjin parallel-twin 650cc yang menawarkan 70hp dan 62Nm sekaligus meletakkan motosikal ini setanding dengan Yamaha Tracer 7 GT (72hp/67Nm) dan Suzuki V-Strom 650 (70hp/62Nm).

Meskipun menggunakan platform sama dari Norton, enjin ini menawarkan 14hp lebih rendah berbanding Norton Atlas Ranger dan Norton Nomad Scrambler.

Sebagai jentera adventure touring, RX6 ini turut menawarkan tangki berkapasiti 21L, penghadang angin boleh laras, tempat duduk luas, paparan TFT berwarna, keterhubungan Bluetooth, lampu LED penuh serta sistem tanpa kunci.

Sistem ‘suspension’ pula hadir menerusi fork upside/down dari Kayaba serta monoshock dengan kedudukan asimetri manakala ciri brek dikendalikan kaliper brek berkembar Nissin di depan dan tunggal di belakang sambil dibantu ABS dwi-saluran.

Zongshen mendedahkan Cyclone RX6 ini merekodkan berat sekitar 245 kilogram.

Difahamkan, Cyclone RX6 ini bakal tampil dengan dua varian:

  • Touring: rim aloi 17″ dengan tayar Pirelli
  • Adventure: tetapan ‘suspension’ yang lebih tinggi dan rim jenis spoke

Zongshen Cyclone RX6 ini akan mula dijual dipasaran China sebelum dipasarkan ke negara luar dalam masa terdekat. – CycleWorld

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]