Hong Leong Yamaha Motor telah melancarkan Yamaha NVX 2021 menerusi siaran virtual hari ini.
Bagi tahun 2021, Yamaha NVX tampil dengan dua varian, standard dan dengan ABS sekaligus memperkembangkan pilihan bagi segmen skuter 150cc.
NVX baharu ini menjadi model Yamaha pertama di Malaysia menawarkan ciri Y-Connect, yang membolehkan penunggang memadankan telefon pintar kepada skuter bagi mendapatkan info dan status terkini jentera.
Antara info yang disampaikan adalah:
- status semasa bateri dan minyak enjin
- status penggunaan bahan api
- peringatan servis
- lokasi terakhir jentera
Selain daripada memudahkan penjagaan dengan peringatan servis, ciri Y-Connect juga memudahkan pemilik mengenal pasti lokasi jentera sekaligus memberi kelegaan sewaktu meletakkan kenderaan.
Enjin Yamaha Blue Core 155cc SOHC dengan VVA ini juga menawarkan peningkatan kuasa 15hp pada 8,000rpm dan 13.9Nm pada 6,500rpm berbanding model sebelumnya.
Antara ciri menarik lain ditawarkan:
- skrin LCD digital dengan keterhubungan Y-Connect
- rekaan lampu LED serba baharu di bahagian depan dengan 12 LED kompak di bahagian belakang
- soket 12v DC
- sistem Start & Stop (varian ABS)
- Smart Key @ keyless (varian ABS)
- penyerap hentakan belakang dengan sub tank (varian ABS)
Yamaha NVX baharu ini juga mampu pergi lebih jauh dengan jarak 200km berbanding model sebelumnya hasil bantuan tangki yang lebih besar, 5.5L berbanding 4.6L sebelum ini.
Varian ABS juga didatangkan dengan fungsi ABS satu saluran dan dipadankan bersama cakera brek 230mm di bahagian depan.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan Yamaha NVX baharu ini pada harga RM8,998 bagi varian Standard dan RM10,998 bagi varian ABS.