Januari lalu, pengeluar motosikal China, CFMoto telah berkongsi imej rasmi 800MT, model baharu yang dibangunkan dengan kerjasama KTM.
Dalam perkembangan terkini, kami difahamkan motosikal adventure tersebut disahkan akan masuk pasaran tempatan sekitar 2022.
Meskipun tiada tarikh rasmi didedahkan namun pengesahan kemasukan model itu sudah cukup mengujakan apatah lagi dijangka menawarkan harga yang lebih mampu milik berbanding motosikal ADV lain yang ditawarkan di Malaysia ketika ini.
CFMoto 800MT (yang pada awalnya dinamakan MT800) merupakan motosikal jenis ADV konvensional dan bukannya bercirikan ‘off-road’sepenuhnya.
Model ini bukan sahaja mengguna pakai chasis malah enjin parallel-twin 799cc LC8 yang sama terdapat pada KTM 790 Adventure.
Berdasarkan laporan sebelum ini, CFMoto 800MT menawarkan berat sekitar 231 kilogram, 16kg lebih berat berbanding KTM 890 Adventure (model terkini).
CFMoto merupakan rakan kerjasama rasmi KTM yang turut bertanggungjawab menghasilkan Duke 125, 250, 390 untuk pasaran China.