MODENAS telah mengemas kini varian Pulsar RS200 dengan pilihan warna dan grafik baharu yang tampak lebih segar.
Bagi tahun 2021, Pulsar RS200 tampil dengan tiga pilihan warna, Pearl Metallic White, Pewter Gray serta Burnt Red.
RS200 merupakan keluarga Pulsar dengan fairing penuh sementara NS200 merupakan model gaya ‘naked’ namun kedua-duanya digerakan dengan enjin satu silinder 199cc SOCH.
Ketika NS200 popular dikalangan peminat motosikal tempatan dan sering kelihatan di jalan raya, lain kisahnya bagi RS200.
Berdasarkan maklum balas di laman sosial, rata-rata menyukai reka bentuk dan gaya ditawarkan kecuali beberapa aspek, antaranya bentuk lampu LED belakang dan tahap ‘capang’ cermin sisi.
Perkara itu turut dibangkitkan pemilik motosikal itu sewaktu acara Let’s Talk anjuran MODENAS yang diadakan di sekitar ibu negara sebelum ini.
Bagaimanapun, selepas diberi peluang menguji Pulsar RS200 di Litar Rakyat Kuala Selangor, kami berasakan sudah tiba masa RS200 2021 diberi perhatian berbanding sebelum ini.
Enjin dan prestasi
Pulsar RS200 dikuasakan dengan enjin satu siinder 199cc SOHC DTS-i dengan penyejukan cecair yang menjana 24hp pada 9,750rpm dan 18.6Nm pada 8,000rpm.
Perlu diingatkan ini adalah enjin sama yang terdapat pada KTM 200 Duke (kecuali bahagian head yang telah ditukar bagi memuatkan tiga spark plug) yang menawarkan 26hp dan 19.5Nm.
Berdasarkan perbandingan itu, kuasa yang ditawarkan RS200 dan 200 Duke tidak membawa perbezaan yang ketara.
Bahkan, 24hp dan 18.6Nm merupakan kuasa yang mencukupi untuk kegunaan harian dan memadai untuk melayan selekoh di litar lumba di hujung minggu.
Pemilik motosikal ini juga tidak akan berdepan masalah alat-ganti yang mudah didapati serta tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk servis dan penyelenggaraan.
Reka bentuk
Secara keseluruhan, rekaan RS200 tampak selari dengan rekaan semasa motosikal moden bawah 250cc dan sememangnya mensasarkan penunggang muda dan yang baru mula menjinak dengan motosikal besar.
Tempat duduk juga selesa dan memudahkan penunggang meletakkan kaki atas permukaan jalan dengan lebih senang.
Bahagian tangki juga menempatkan tank pad yang agak tebal bagi memastikan gegaran jentera kurang dirasai.
Meskipun menawarkan ciri seakan motosikal ala sportsbike namun dengan handlebar yang tinggi, motosikal ini ditunggang dengan kedudukan yang menegak lantas menghadirkan keselesaan untuk perjalanan dekat dan jauh.
Jika anda bukan jenis bergegas ke sana sini, RS200 tiada masalah untuk menunggang pada kelajuan 120km/j di lebuh raya.
Bahagian lampu depan menampilkan rekaan yang moden dengan penggunaan lampu jenis projektor 55W low beam dan 65W high beam dan menawarkan pencahayaan yang baik.
Berbalik tentang rekaan lampu belakang, alangkah bagusnya kalau rekaan sama pada NS200 dipinjamkan juga pada RS200 kerana rekaan sedia ada sukar untuk diungkap.
Sebelum ada yang mencadangkan MODENAS perlu membuat beberapa perubahan terutamanya bahagian lampu belakang, perlu diingatkan MODENAS hanya melaksankana pemasangan tempatan (CKD) dan segala rekaan dibuat Bajaj Auto Ltd di Pune, India.
Spesifikasi jentera
Apa yang kami suka tentang motosikal 200cc ini adalah sistem ABS satu saluran oleh Bosch yang didatangkan secara standard.
Ini kerana selain daripada moped, SYM VF3i 185, tiada motosikal bawah RM10,000 yang menawarkan ciri keselamatan ini.
Penggunaan cakera brek 300mm depan dan 230mm belakang yang dipadankan bersama kaliper axial dari ByBre juga menawarkan brek yang efisien sementara penyerap hentakan jenis Nitrox dengan enam pelarasan menjaminkan tunggangan yang lebih lancar terutamanya di selekoh.
Penggunaan tayar medium compound (berbanding hard compound pada model pertama) dari MRF memadai untuk memberi cengkaman secukupnya namun dinasihatkan untuk tukar ke pilihan yang lebih baik bagi yang mahukan cengkaman lebih baik terutamanya sewaktu hujan.
Rumusan
Secara peribadi, selepas menunggang di Litar Rakyat Kuala Selangor, kami berasakan Pulsar RS200 sememangnya sebuah motosikal yang menawarkan segala ciri yang wajib ada pada sebuah motosikal 200cc. Walaupun terdapat beberapa aspek yang boleh diperbaiki namun dengan harga RM9,900 (sebelum cukai jalan dan insurans) dan lengkap dengan ciri ABS, RS200 sememangnya motosikal yang berbaloi (value for money).