MotoGP: Vinales Menang Aksi Pembukaan, Rossi-Morbidelli Bergelut

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Valentino Rossi dan Franco Morbidelli, seakan bergelut sepanjang perlumbaan berlangsung di Litar Antarabangsa Losail yang menyaksikan Maverick Vinales muncul pemenang selepas 20 lap.

Pelumba Pramac (Ducati), Johann Zarco serta pelumba factory Ducati, Francesco Bagnaia, melengkapkan podium kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, berbeza kisahnya buat pelumba Petronas SRT, Rossi dan Morbidelli, yang gagal pamer aksi memberangsangkan apabila sekadar menamatkan pusingan pertama di tempat ke-12 dan 18.

Meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-4 selepas aksi kelayakan yang mantap pada Sabtu, Rossi gagal menempatkan dirinya di kelompok depan apabila jatuh ke kedudukan ke-7.

Bagaimanapun, masalah tayar yang dihadapinya musim lalu kembali menghantui pada aksi pembukaan 2021 lalu menyaksikan pelumba 42 tahun itu jatuh ke kedudukan ke-12.

“Selepas aksi kelayakan semalam, kami jangkakan keputusan yang lebih baik tetapi sewaktu perlumbaan saya bergelut selepas beberapa lap ekoran masalah tayar.

“Perkara ini turut berlaku sewaktu ujian bebas pada Jumaat, kami cuba lakukan sesuatu namun masalah itu tidak berjaya diselesaikan.

“Entah kenapa tayar belakang hilang cengkaman jadi selepas beberapa lap saya tidak cukup pantas,” jelas Rossi.

Sementara itu, Morbidelli mengesahkan jentera ‘A-spec’ miliknya mengalami masalah teknikal membabitkan ‘suspension’ belakang.

“Masalah ini perlu disiasat kerana situasi ini telah pun berlaku sebelum ini tetapi sewaktu perlumbaan isu ini lebih ketara jadi saya tiada pilihan selain meneruskan perlumbaan.

“Ekoran tiada ‘damping’ dari ‘suspension’ belakang, sukar untuk saya mengambil selekoh maka terpaksalah berlumba satu saat lebih perlahan dari kelajuan perlumbaan,” kata Morbidelli.

Pusingan kedua GP Qatar akan berlangsung pada 4 April ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]