BSH Lancar CB650R Dan CBR650R 2021 – Dengan Showa Big Piston Fork, Dari RM43,499!

Boon Siew Honda (BSH) kini menawarkan Honda CB650R dan CBR650R 2021 yang telah dikemas kini dengan beberapa ciri baharu.

Kedua-dua motosikal segmen pertengahan itu kini didatangkan dengan Showa 41mm Separate Funtion Big Piston (SF-BP) USD fork, paparan LCD yang lebih segar, pengecas USB Type-C serta rekaan grafik baharu.

Naik taraf terbesar adalah fork Showa SF-BP yang menawarkan kualiti terbaik di samping meningkatkan tahap kawalan motosikal.

Penggunaan piston yang lebih besar juga menawarkan kawalan dan penyerap hentakan yang lebih baik.

Manakala soket pengecas USB Type-C memudahkan penunggang untuk mengecas telefon pintar dengan lebih mudah sewaktu tunggangan harian mahupun jarak jauh.

Menurut Honda, paparan LCD juga telah diperkemas dengan huruf berbeza serta sudut pencahayaan LED yang lebih baik.

Honda CB650R dan CBR650R ini masih lagi mengekalkan enjin 649cc DOHC (Euro 4) yang menawarkan 94hp pada 12,000rpm serta 63Nm pada 8,500rpm dan dipadankan dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang menawarkan cengkaman lebih baik.

Honda CB650R ini didatangkan dengan dua warna pilihan, Candy Chromosphere Red serta Mat Gunpowder Black Metallic dan ditawarkan pada harga RM43,499 manakala CBR650R ditawarkan pada harga RM45,499 dan boleh didapati dengan warna Grand Prix Red serta Mat Gunpowder Black Metallic.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]