Belum sempat Ducati Multistrada V4 mendarat di Malaysia, pengeluar motosikal Itali itu dikhabarkan bakal memperkenalkan edisi Pikes Peak.
Senario ini sekaligus menyaksikan Ducati meneruskan tradisi Multistrada Edisi Pikes Peak sepertimana yang dilakukan pada model 1260 dan 1200 sebelum ini.
Pikes Peak Hill Climb merupakan antara kejohanan perlumbaan jalan raya paling ikonik bagi Ducati yang sebelum ini mempertaruhkan Multistrada bersama pelumba Carlin Dunne.
Ducati kemudiannya beralih kepada jentera (prototaip) Streetfighter V4 pada tahun 2019 yang turut menyaksikan Dunne menemui ajal selepas terlibat kemalangan.
Kejadian itu turut menyaksikan penganjur Pikes Peak mengharamkan kategori dua roda namun itu tidak menyekat Ducati untuk memperkenalkan Multistrada V4 edisi khas tersebut.
Bagaimanapun, tiada info terperinci mengenai varian baharu ini kecuali penggunaan warna dan livery unik serta sistem ‘suspension’ oleh Ohlins seperti model sebelumnya.