Ducati Tidak Pernah Tawarkan Kontrak Baharu – Dovizioso

Bekas pelumba Ducati MotoGP, Andrea Dovizioso, akhirnya buka mulut mengenai keputusannya untuk tinggalkan pasukan itu selepas lapan musim.

Walaupun pada awalnya timbul dakwaan Ducati dan Dovizioso gagal mencapai kata putus membabitkan pemotongan gaji susulan Covid-19, pelumba Itali itu dalam temu bual terbaru menafikan perkara tersebut.

“Ada yang mendakwa saya mahukan itu ini. Itu semua tipu. Saya tidak ditawarkan kontrak baharu dan tiada sebarang perbincangan berlaku,” tegas Dovizioso.

Ketika di GP Austria musim lalu, pengurus pasukan Ducati, Davide Tardozzi, mengesahkan pihaknya sedang menilai prestasi Dovizioso sehingga memberitahu media pelumba itu ada tiga perlumbaan untuk membuktikan dirinya.

Tidak tahan dengan layanan tersebut, Dovizioso mengumumkan keputusan untuk meninggalkan pasukan itu sehari kemudian menerusi pengurusnya, Simone Battistella.

Kemudian timbul dakwaan kegagalan mencapai persetujuan kontrak adalah disebabkan faktor gaji namun Dovizioso menafikan perkara itu.

“Sehingga kini saya masih tidak tahu mengapa mereka tidak mahukan saya. Apa yang saya sedia maklum, (Luigi) Dall’Igna telah membuat keputusan itu pada mesyuarat yang diadakan pada 2019.

“Mesyuarat itu sepatutnya membincangkan isu teknikal, kami ada idea berbeza dan mahu bertemu dengan semua jurutera.

*Pengurus Besar Ducati MotoGP, Gigi Dall’Igna

“Kemudian berlaku konfrontasi di antara kami (Dovizioso dan Gigi), saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya tetapi Gigi berasakan dirinya seperti diserang.

“Saya rasa ketika dia keluar dari mesyuarat itu dan menutup pintu dia telah membuat keputusan.

“Kenyataan yang dibuat pada 2020 mengenai motivasi saya adalah tidak betul,” tambah Dovizioso.

Meskipun lapan tahun bersama Ducati, pelumba berusia 34 tahun itu mendedahkan dia tiada sebarang hubungan dengan Gigi apatah lagi tidak pernah duduk semeja bagi membincangkan pembangunan jentera sejak 2017.

“Sebelum ini hubungan kami berada di tahap 30 peratus tetapi menjadi keruh sejak penyertaan Jorge Lorenzo pada 2017.

“Kami sering bercanggah pendapat dan bertengkar dan semenjak itu pasukan saya diketepikan sehingga kami tidak lagi bercakap tentang pembangunan jentera,” jelas Dovizioso.

Ducati bakal mempertaruhkan Jack Miller dan Francesco Bagnaia bagi musim 2021 bermula dengan siri ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang, Februari ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]