Selepas kejayaan Kursus Teknik Keselamatan Marshal di Selangor beberapa bulan lalu, GIVI dengan kerjasama Motowazi berjaya melaksanakan satu lagi kursus keselamatan jalan raya di Melaka, baru-baru ini.
Kursus tunggangan marshall kali ini membabitkan 40 penunggang motosikal dari Negeri Sembilan dan Johor dengan kesemuanya menjalani saringan kesihatan bagi menjaminkan kesejahteraan semua peserta.
Selain daripada mempelajari teknik menunggang dengan selamat terutamanya dalam kumpulan besar, para peserta juga didedahkan dengan undang-undang keselamatan jalan raya oleh wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Peserta kemudiannya menerima sijil termasuk helmet GIVI M10.2 VISTA sebagai penghargaan kepada semua peserta yang menjayakan program tersebut.
Pengurus Pemasaran GIVI Asia, Samir Sharman, turut meluahkan rasa berbesar hati terhadap kejayaan Kursus Teknik Keselamatan Tunggangan Marshall kali ini.
“Kami sangat berbesar hati kerana dapat meneruskan kempen begini bersama Motowazi.
“Pemilihan Melaka sebagai destinasi sulung di selatan tanah air adalah bagi membuka peluang kepada penunggang motosikal di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Johor,” jelasnya.