Tindakan Saman Individu Guna Nombor Plat ‘Fancy’ Berasas – Ketua Polis Johor

Baru-baru ini, viral rakaman video oleh seorang individu yang tidak berpuas hati apabila dikenakan saman susulan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Dalam kejadian yang berlaku di Johor Bahru itu, seorang lelaki bertindak melakukan provokasi terhadap anggota BSPT IPD Johor Bahru (JBS) kerana tidak puas hati dirinya menerima dua saman, nombor plat tidak timbul dan kilat serta melakukan pengubahsuaian pada ekzos.

Rakaman berdurasi 1 minit 10 saat itu memaparkan lelaki itu menggunakan nombor plat fancy dan tidak mengikut spesifikasi.

Lelaki tersebut kemudiannya turut direman selama tiga hari kerana didapati mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis sewaktu hendak beredar.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mempertahankan tindakan pihaknya dalam mengenakan saman terhadap individu yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dalam satu operasi di negeri itu.

“Semalam ada diviralkan satu video seorang pemuda yang mempertikai tindakan polis menyaman tetapi kalau ikutkan, kami ada asas sebab nombor dia memang tidak ikut spesifikasi ditetapkan,” jelasnya. – Bernama

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]