KYMCO Sahkan Pengeluaran RevoNEX Akan Dilakukan Di Itali

Sejak diperkenalkan di EICMA tahun lalu sebagai jentera konsep, ramai yang bertanyakan bila motosikal elektrik itu akan dihasilkan untuk pasaran dunia.

Persoalan itu akhirnya terjawab apabila Pengerusi Gwangyang Group, Ke Shengfeng mendedahkan RevoNEX telah pun dibawa ke peringkat pengeluaran.

Bagaimanapun, lebih menarik lagi apabila KYMCO (anak syarikat Gwangyang Group) mendedahkan pengeluaran model elektrik itu akan dilakukan di Itali.

“RevoNEX telah mencuri perhatian seluruh dunia sejak diperkenalkan tahun lalu. Pembangunana RevoNEX dilakukan dengan penggunaan teknologi dan inovasi terkini dalam usaha meletakkan unit ini sebagai generasi baru motosikal elektrik.

“Disini saya mengumumkan bahawa pengeluaran RevoNEX bakal dilakukan di Eropah sekaligus menjadikan model ini sebagai motosikal elektrik pertama yang akan dipasarkan di seluruh dunia di bawah jenama KYMCO ‘Made in Italy’,” jelas Shengfeng.

KYMCO RevoNEX merupakan motosikal elektrik yang mampu merekodkan 0-100km/j dengan hanya 3.9 saat dan 100-200km/j pada 8.7 saat.

Kawalan motosikal ini dilaksanakan menerusi transmisi manual 6-kelajuan.

Dalam perkembangan lain, KYMCO telah pun melancarkan sebuah lagi motosikal elektrik menerusi F9, baru-baru ini.

Berbanding RevoNEX yang lebih berkuasa, KYMCO F9 dibina untuk kegunaan harian.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]