Seorang kontraktor di Pekan lesap lebih RM14,000 selepas ditipu penjual di laman Facebook.
Lelaki berumur 53 tahun itu membuat pembayaran RM14,412 bagi membeli sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang telah diiklankan di Facebook dengan harga RM36,000 pada 3 Oktober lalu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa membuat bayaran pertama berjumlah RM2,500 di samping menghantar salinan dokumen dan penyata bank kepada penjual menerusi aplikasi WhatsApp.
Penjual kemudiannya meminta mangsa membuat satu lagi bayaran kali ini sebanyak RM11,912 dengan alasan untuk cukai jalan, insurans dan tukar nama.
Mangsa kemudiannya dimaklumkan bahawa Ford Ranger terbabit akan dihantar ke rumah di Pekan, Pahang menggunakan servis ‘tow truck’ dengan si penjual turut menyerahkan nombor telefon perkhidmatan tersebut.
Bagaimanapun, mangsa terus membuat laporan polis selepas ‘tow truck’ tersebut tidak menghantar trak pikap itu seperti yang dijanjikan. – The Star