Baru-baru ini, Hafizh Syahrin disahkan hilang tempat di Aspar Team Moto2 bagi musim 2021.
Aspar Team membuat keputusan untuk naikkan pangkat pelumba Moto3, Albert Arenas ke Moto2 susulan prestasi mengagumkan musim ini.
Arenas mendahului kejuaraan Moto3 ketika ini dengan 144 mata selepas 11 pusingan.
Sementara itu, Hafizh mendedahkan dia kini sedang berbincang dengan dua pasukan namun enggan mendedahkan maklumat terperinci tatkala fokusnya adalah baki empat pusingan di Moto2.
Bagaimanapun, Hafizh turut mengakui dia enggan meletakkan harapan tinggi terhadap kariernya musim depan.
“Sekarang tak letak harapan apa-apa. Kalau ada rezeki saya sambung, kalau tak ada, insya’Allah ada rezeki di tempat lain,” jelasnya kepada BH Online.
Sementara itu, timbul dakwaan mengatakan salah satu daripada pasukan itu adalah Idemitsu Honda Asia di Moto2.
Pasukan itu ketika ini beraksi menggunakan jentera Kalex berbanding Speed Up yang diguna pakai Aspar Team.
Pada masa sama, pasukan MV Agusta Forward Racing dan NTS RW Racing juga masih mempunyai satu slot kekosongan setelah hanya mengesahkan Lorenzo Baldassarri (MV) dan Barry Baltus (NTS) musim depan.
Aksi di GP Aragon pada Ahad menyaksikan Hafizh gagal mengutip sebarang mata apabila menamatkan aksi di kedudukan ke-19.