WSBK: Rea Rangkul Kejuaraan Dunia Ke-6 Berturut-turut

Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2020 menyaksikan Jonathan Rea merangkul kejuaraan buat kali keenam berturut-turut.

Meskipun tidak memenangi aksi di Litar Estoril dengan Toprak Razgatlioglu (PATA Yamaha WorldSBK) muncul pemenang di hadapan Chad Davies (Ducati) dan Garrett Gerloff (Yamaha), tempat keempat sudah cukup buat Rea untuk menyapu musim 2020.

Sementara itu, pencabar terdekat, Scott Redding (Ducati) yang terpaksa bersara awal dari perlumbaan memudahkan Rea untuk memastikan takhta WSBK kekal miliknya.

Redding memberi tentangan hebat sejurus musim 2020 berjalan dengan jentera Ducati V4 R namun status juara dunia memberi Rea kelebihan tatkala pelumba itu berjaya memastikan aksi yang konsisten dengan Kawasaki ZX-10R.

Rea turut meluahkan rasa keterujaan ke atas kejayaannya.

“Perasaan saya ketika ini tidak dapat digambarkan. Perjalanan kami musim ini sangat mengagumkan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada WSBK, Dorna dan semua pihak yang terlibat dengan penganjuran perlumbaan ini. Walaupun dengan segala yang berlaku tahun ini, kami masih mampu berlumba.

“Saya rindukan kehadiran penyokong dan ahli keluarga yang tidak dapat hadir hari ini.

“Tetapi ini semua untuk Kawasaki Racing Team kerana terus memacu untuk mencapai kejayaan ini. Kami bermula dari belakang tetapi kami tidak putus asa,” jelasnya.

Menariknya, Rea telah pun merekodkan 99 kemenangan di pentas WSBK ketika ini dengan 84 daripadanya bersama Kawasaki.

Dia turut merekodkan 185 podium dan 27 petak pertama dalam kariernya setakat ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]