Selepas sembilan pusingan musim ini, masih belum ada pelumba yang mampu memaparkan aksi konsisten dalam kelas premier setakat ini.
Fabio Quartararo, Brad Binder, Andrea Dovizioso, Miguel Oliveira, Franco Morbidelli dan terbaru Danilo Petrucci muncul pelumba ketujuh yang merekodkan kemenangan.
Meskipun Quartararo berjaya mencipta tiga kemenangan semasa di GP Sepanyol, GP Andalucia dan GP Catalunya, pelumba Perancis itu gagal meneruskan momentum minggu lalu di litar Le Mans apabila sekadar menamatkan aksi di kedudukan ke-9.
Senario litar basah menyaksikan pelumba Perancis itu bergelut di laman sendiri.
Walaupun masih mendahului carta kejuaraan namun dia hanya dipisahkan 10 mata dengan pelumba Suzuki Ecstar, Joan Mir.
Apa yang pasti, musim 2020 bakal menyaksikan nama baharu diukir selaku juara selepas Marc Marquez dominasi empat musim berturut-turut sebelum itu.
Marc Marquez hampir pasti tidak berupaya mempertahankan kejuaraan musim ini setelah mengalami kecederaan lengan serius akibat kemalangan ketika di Jerez dan lebih parah apabila cuba kembali selepas itu.
Namun, tidak dinafikan musim 2020 mungkin menjadi kejuaraan MotoGP ke-7 Marquez atas beberapa faktor.
- Konsistensi
Aksi konsisten merupakan elemen penting yang membezakan Marquez dengan pelumba lain di litar, jadi tidak hairanlah pelumba Sepanyol itu menamatkan musim 2019 dengan 420 mata, 151 mata dihadapan pencabar, Dovizioso (selepas 19 pusingan).
Quartararo setakat ini mengutip 115 mata, 5 mata dihadapan Mir selepas sembilan pusingan.
Manakala Marquez telah pun mengutip 185 mata (selepas sembilan pusingan pertama musim 2019) meskipun gagal menamatkan aksi sewaktu pusingan ketiga di GP Amerika.
Ketika musim 2020 menyaksikan tujuh pemenang baharu dengan 15 pelumba naik podium selepas sembilan pusingan, Marquez merekodkan lima kemenangan dan tiga tempat kedua selepas pusingan sama tahun lalu.
- Ketahanan enjin
Setiap pasukan MotoGP tanpa konsesi – Yamaha, Honda, Ducati dan Suzuki – dibenarkan untuk menggunakan lima enjin bagi setiap pelumba dalam tempoh 13-pusingan musim ini.
Namun, pelumba Petronas SRT, Quartararo dan Valentino Rossi (Monster Energy Yamaha) telah pun menggunakan empat enjin setakat ini.
Morbidelli turut mengalami masalah samala, kehilangan kuasa secara tiba-tiba sewaktu di Andalucia sementara Vinales lebih malang, dengan kesemua enjin telah pun digunakan.
Vinales turut mengalami masalah brek sehingga dia terpaksa melompat dari jenteranya ketika di GP Styrian.
Situasi ini turut memaksa Yamaha menghantar dua enjin kembali ke Jepun Julai lalu untuk dianalisis.
Menurut peraturan, pelumba yang menggunakan lebih daripada lima enjin dalam satu musim perlu memulakan perlumbaan di pit, lima saat selepas lampu hijau menyala.
Pastinya keadaan itu mahu dielakkan Yamaha apatah lagi Quartararo ketika ini dalam usaha mengekalkan status pendahulu kejuaraan dunia.
Pasukan Repsol dan LCR Honda, masing-masing menggunakan jentera RC213V Factory Spec terbaru ketika ini – kecuali Takaaki Nakagami (LCR) beraksi dengan jentera 2019 – tidak berdepan sebarang masalah teknikal sehingga kini.
Walaupun terdapat beberapa isu – terutamanya semasa keluar masuk selekoh – sewaktu sesi ‘Winter Test’ di Sepang dan seterusnya di Qatar, masalah itu dapat diatasi pada hari terakhir di Litar Losail, Februari lalu.
- Keserasian
Marquez dan jentera RC213V mempunyai tahap keserasian yang tinggi berbanding pelumba lain di kelas premier.
Ketika rakan sepasukan, Jorge Lorenzo bergelut sepanjang musim 2019 dengan RC213V, Marquez terus cemerlang dengan 12 kemenangan daripada 19 pusingan.
Marquez turut mencatat lima kemenangan berturut-turut musim lalu bermula di Misano, Aragon, Buriram, Motegi dan Phillip Island.
Musim ini, adiknya, Alex Marquez yang diangkat dari Moto2 turut bergelut namun sudah mula pamer peningkatan selepas berjaya menduduki tempat kedua di GP Perancis baru-baru ini.
Beraksi di litar basah sememangnya sukar namun (Alex) Marquez menampilkan tunggangan yang konsisten untuk menaiki podium MotoGP pertama dalam kariernya.
Keserasian merupakan elemen penting bagi Honda, jadi tidak hairan pasukan itu membuat keputusan untuk meletakkan (Alex) Marquez di LCR Honda bagi musim 2021 dalam usaha mencapai tahap serasi terbaik.
Hal ini kerana ketika pasukan lain mencipta jentera mengikut acuan pelumba, pelumba Honda pula perlu menyesuaikan diri dengan RC213V.
Walaupun ada yang bergelut namun keserasian adalah resepi kejayaan Repsol Honda bersama Marc Marquez.
Aksi MotoGP kembali bersambung minggu ini di Aragon yang bakal memfokuskan terhadap Quartararo dalam usahanya mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan.
Walaupun ada yang mendakwa musim 2020 lebih mengujakan tanpa kehadiran Marquez, hakikatnya, pelumba berusia 27 tahun itu akan membuatkan musim 2020 lebih menyeronokkan bagi setiap peminat MotoGP.
Teringat lagi aksi pembukaan di Jerez, Marquez mampu meletakkan dirinya di tempat ketiga mengejar dari belakang (dari tempat ke-16) sebelum kemalangan ketika perlumbaan berbaki 4 lap.
Rasanya, tiada pelumba lain yang mampu mempamerkan sifat tidak cepat putus asa seperti ditayangkan Marquez.
Apa pun, Marquez perlu ‘meminjamkan’ sementara taktha MotoGP kepada muka baharu musim ini dan kembali dominasi kelas premier musim depan.