Lagi kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk berlaku Sabtu lalu.
Kali ini, seorang jurutera maut manakala isteri dan anaknya mengalami kecederaan namun selamat dalam insiden kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk di Persiaran Tun Teja, dekat Alam Impian.
Dalam kejadian 3.45 petang itu, mangsa bersama isteri dan anak-anak sedang memandu kereta jenis Perodua Aruz sebelum bertembung dengan Proton Perdana yang hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar mangsa.
Mangsa, Ahmad Safwan disahkan maut di lokasi kejadian manakala isteri Nur Syahirah Ismail mengalami kecederaan di kaki sementara dua anaknya berusia 5 dan 3 tahun terselamat.
Pemandu Proton Perdana tersebut turut terselamat dengan sampel ujian darah telah diambil bagi menentukan sama ada dia berada dalam pengaruh dadah atau alkohol.
Menurut isteri mangsa, mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas arwah selesai memotong rambut di Seksyen 19.
Jenazah arwah telah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 semalam.
Sementara itu, rakaman video kemalangan turut tular di laman sosial dengan ada yang turut berkongsi video yang memaparkan pemandu Proton Perdana terbabit berada dalam keadaan tidak keruan susuland disyaki berada dalam pengaruh alkohol atau dadah.
Ogos lalu, Dewan Rakyat telah pun meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk mengenakan hukuman lebih serius atas kesalahan pemandu mabuk.
RUU tersebut menyaksikan pesalah yang memandu dalam pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda di antara RM50,000 hingga RM100,000. – HM