Reviu Ducati Multistrada 950S: Baka Itali Paling Praktikal

Baru-baru ini kami berpeluang menguji tawaran baharu daripada Ducati, Multistrada 950S 2019.

Meskipun untuk masa singkat – sejujurnya hanya 96 jam – namun dalam tempoh itu kami sempat menguji senario panjat bukit (Genting lah mana lagi) dan tunggangan jarak jauh, dari Kuala Lumpur ke Bagan Lalang.

Umum mengetahui (terutamanya di Malaysia) buat apa beli Multistrada 950S kalau tambah ‘sikit’ dah boleh dapat model yang lebih besar?

Dalam konteks ini, Multistrada 1260S.

Persoalannya di sini, berapa ramai yang mahukan jentera segmen ‘adventure touring’ yang terlalu berkuasa sehingga sukar dikawal apatah lagi berat?

Multistrada 950S merupakan jawapan Ducati kepada soalan tersebut.

APA YANG BAHARU?

Dilancarkan pada 2019, MTS950S merupakan model yang telah naik taraf daripada MTS950 yang diperkenalkan pada 2017.

Antara perubahan utama yang dilaksanakan adalah teknologi Sachs Skyhook Suspension EVO yang sebelum ini hanya terdapat pada Multistrada 1260S.

Malah, model baharu ini juga didatangkan dengan pakej kawalan elektronik IMU yang terdiri daripada Bosch Cornering ABS, traction control, hold control, empat riding mod, quickshifter dan cruise control.

Semua sistem ini boleh dipantau dengan mudah menerusi paparan TFT berwarna 5.5 inci.

Dalam bahasa mudah, segala sistem elektronik yang hanya terdapat pada MTS1260S sebelum ini kali ini muncul di MTS950S namun tanpa perlu berbelanja besar kerana Ducati 1260S ditawarkan pada harga RM129,900!

Rekaan MTS950S juga tampak lebih menarik – walaupun tak banyak beza dengan model terdahulu – tetapi bahagian depan (tangki) kini tampak lebih ‘sado’ jika dibandingkan dengan MTS950.

Walaupun perasaan awal berasakan MTS950S ini besar namun tanggapan itu hilang sewaktu menunggang.

ENJIN DAN KOTAK GEAR

Ducati Multistrada 950S ini didatangkan dengan enjin 937cc L-Twin Testastretta yang sama ditawarkan pada Hypermotard dan Supersports dan menghasilkan 111.3hp pada 9,000rpm dan 96Nm pada 7,750rpm.

Kapasiti tangki 20L juga cukup besar setaraf dengan BMW R 1250 GS.

Ini sebabya kami berasakan MTS950S adalah jentera terbaik untuk kegunaan harian, tunggangan hujung minggu atau ‘ride’ santai sehingga ke sempadan Thailand.

Pertama, 111.3hp/96Nm tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah sebaliknya angka tersebut menjadikan 950S ini sebuah motosikal ‘adventure touring’ yang ‘proper’.

Tork yang ditawarkan juga tidak terlalu menggerunkan berbanding Hypermotard. Kami mendapati tunggangan lebih lancar dan tidak perlu menukar gear dengan kerap sekaligus membuatkan MTS950S ini amat sesuai sewaktu ‘touring’

Omputih kata ‘a proper adventure touring’.

Segala kuasa itu kemudiannya disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan slipper clutch dan servo assistance di samping kehadiran ‘quickshifter’ merancakkan lagi tunggangan.

Bagaimanapun, kami berasakan Ducati boleh memperhalusi lagi sistem ‘quickshifter’ ini yang kadang kala agar sukar untuk tukar gear terutamanya daripada gear 5 ke gear 6.

PENGALAMAN MENUNGGANG

Sejujurnya, MTS950S ini menawarkan tungggangan yang cukup mudah dan selesa.

Walaupun handlebar dilihat agak lebar namun ketika menyelusuri selekoh, segala elektronik yang ada menjaminkan kawalan terbaik dan sebarang penunggang boleh mengambil selekoh dengan penuh yakin hasil bantuan Cornering ABS Bosch.

Gegaran yang dijana enjin Testasretta itu juga tidak dirasai apabila berada dalam kelajuan yang setimpal sewaktu ‘cruising’ di lebuhraya.

RUMUSAN

Kami berpendapat MTS950S ini merupakan antara motosikal segmen ‘adventure touring’ yang terbaik dalam pasaran ketika ini dengan harga RM95,900.

Meskipun dalam segmen itu terdapat motosikal lain dengan tawaran harga lebih rendah antaranya Triumph Tiger 900 dan Yamaha Tracer GT (sport touring) namun hanya MTS950S menawarkan DNA Ducati di samping sistem elektronik yang terbaik dalam segmennya.

Bagi yang berkemampuan dan mencari motosikal kegunaan harian yang turut mampu ke Thailand dengan mudah, cepat dan selesa, Ducati Multistrada 950S adalah pilihan paling tepat.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]