Beberapa bulan lalu, beberapa imej memaparkan sebuah Ducati Multistrada sedang giat menjalani ujian jalan raya.
Kemudian, Ducati sendiri mengesahkan mereka bakal perkenalkan Multistrada dengan enjin V4 namun tanpa mendedahkan tarikh rasmi pelancaran model tersebut.
Kini, jentera itu diintip menjalani ujian ‘off-road’ dan jentera itu kini jelas kelihatan meskipun dengan litupan ‘camo’.
Bagaimanapun, melihat kepada rupa keseluruhan yang memberikan gambaran jelas sedikit sebanyak beri bayangan bahawa model baharu itu hampiri peringkat pengeluaran.
Menurut info, jentera ini dilaporkan menjalani ujian ‘off-road’ di sekitar Bologna, Itali.
Membawa lencana V4, hampir pasti Multistrada V4S ini mengguna pakai nadi 1,103cc sama yang terdapat pada dua jentera Ducati lain, Panigale V4 dan Streetfighter V4 namun ada ura-ura mengatakan ini adalah enjin yang serba baharu dibangunkan kilang Borgo Panigale.
Antara ciri lain yang dikenalpasti adalah penggunaan swingarm jenis ‘double-sided’ berbanding single-sided yang ikonik pada model Ducati lain.
Meskipun belum ada tarikh rasmi namun kami menjangkakan model ini akan diperkenalkan hujung tahun ini dan akan dipasarkan 2021.