Curi Lebih 100 Motosikal Sejak 2013, Geng KTM Tumpas

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan 8 individu yang bergiat aktif sejak 2013 dalam kegiatan mencuri motosikal jenis KTM.

Lapan suspek tersebut termasuk seorang wanita telah ditahan dalam serbuan berasingan di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur, minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan mendedahkan kesemua suspek ditahan dalam tempoh 24 jam.

“Suspek utama dan tujuh lagi rakan sejenayah, berusia antara 29 hingga 42 tahun ditangkap dalam tempoh 24 jam pada Jumaat lalu dengan tangkapan pertama dibuat melalui serbuan yang dijalankan di Putrajaya.

“Susulan tangkapan itu, suspek selebihnya ditahan dalam serbuan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Lestari Perdana, Seri Kembangan dan Pasir Panjang, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, dalang utama kumpulan tersebut sedang menjalani hukuman buang daerah ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

Difahamkan, pihak polis membuka kertas siasatan selepas menerima aduan daripada mangsa yang melaporkan motosikal jenis KTM RC390 miliknya hilang di Puchong, 30 Ogos lalu.

KTM RC390

Ismadi turut memaklumkan pihaknya berjaya menemukan lapan motosikal curi lain di parkir motosikal projek perumahan rakyat (PPR) di Bukit Jalil.

Sementara itu, siasatan lanjut mendapati dalang utama berusia 34 tahun telah bergiat aktif mencuri motosikal jenis KTM sejak 2013 dan menjual komponen motosikal kepada pembeli.

Modus operandi Geng KTM ini adalah berselindung di sebalik perniagaan bengkel kereta miilik salah seorang suspek dan menjual alat ganti secara atas talian dengan harga jauh lebih rendah daripada pasaran.

Pada masa sama, kesemua lapan suspek didapati positi dadah manakala tujuh daripadanya mempunyai rekod lampau.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]