Seorang penunggang motosikal mengalami kemalangan apabila laluan motosikal yang dilalui secara tiba-tiba dikejutkan dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
Insiden tersebut turut dirakam kamera aksi (action cam) GoPro miliknya yang memaparkan sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih telah keluar daripada terowong motosikal.
Terkejut dengan situasi semasa tersebut, penunggang motosikal itu terpaksa melakukan brek mengejut sambil mengelak lalu menghentam bahagian sisi luar terowong dan terjatuh.
Rakaman tersebut turut memaparkan kereta Vios terbabit meneruskan perjalanan dan tidak memberhentikan kenderaan meskipun menjadi penyebab kepada kemalangan terbabit.
Rakaman video berdurasi 40 saat itu kini mula tular di media sosial menerusi akaun Facebook, Info Roadblock JPJ/Polis yang setakat ini telah pun merekodkan lebih 800 komen dan 1,000 perkongsian.
Insiden kereta masuk laluan motosikal sering berlaku terutamanya melibatkan laluan di Lebuhraya Persekutuan dan hampir pasti menyusahkan penunggang motosikal di samping membahayakan nyawa.