Pelumba Ducati Factory, Andrea Dovizioso meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi jenteranya apabila sekadar menamatkan aksi GP Republik Czech di kedudukan ke-11.
Rakan sepasukan, Danilo Petrucci juga mempamerkan tunggangan hambar apabila sekadar mendapat tempat ke-12 di Brno.
Bagaimanapun, nasib lebih baik menimpa pelumba pasukan satelit Ducati, Johann Zarco yang mendapat tempat ketiga setelah bermula di petak pertama.
Jack Miller, dari pasukan Pramac Racing turut menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9 sekaligus menandakan keputusan lebih baik berbanding pasukan Factory Ducati.
Situasi itu membuatkan Dovizioso seakan tidak berpuas hati dengan jenteranya.
“Kami perlu cuba memahami apa yang berlaku, kami perlu mendapatkan seseorang yang boleh mengenal pasti apa yang sedang berlaku.
“Pecco (Bagnaia) cukup laju ketika di Jerez dan kali ini giliran Zarco, kami perlu mengkaji data mereka dan cuba mengesan apa yang perlu kami lakukan.
“Harapnya sebelum aksi di Austria kami akan menjumpai jawapan,” jelasnya.
Namun, Dovizioso tidak berselindung daripada kekecewaanya dengan apa yang menimpa setakat ini.
“Ini merupakan kali kedua (selepas Bagnaia) seorang pelumba Ducati yang menggunakan tetapan berbeza menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih baik berbanding kami.
“Kami telah mengambil segala pengalaman dalam tempoh tiga tahun ini untuk mencapai keputusan yang baik. Kami telah melakukan pelbagai perubahan dan mendapat keputusan yang disasarkan namun kali ini tiada apa yang menjadi,” tambahnya.
Aksi MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Austria.