Malaysia sememangnya boleh dianggap antara pasaran besar motosikal Asia Tenggara namun kita masih ketinggalan di belakang Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Ini kerana kadar pengguna motosikal di empat negara terbabit adalah jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Jadi tidak hairanlah, tak semua model motosikal diperkenalkan di Kuala Lumpur meskipun terdapat permintaan tinggi terhadap beberapa jentera.
Berikut lima motosikal yang kami sendiri berharap akan masuk Malaysia.
- Honda CBR250RR
Sejak diperkenalkan untuk pasaran Indonesia dan Jepun pada 2016 termasuk beberapa pasaran lain kemudiannya, jentera ini masih lagi tidak dibawa masuk di Malaysia.
Bernadikan 250cc, Honda CBR250RR ini didatangkan dengan pelbagai ciri menarik antaranya ABS dan fungsi quickshifter!
Terdapat ura-ura mengatakan jentera ini akan diperkenalkan kelak namun sehingga kini masih tiada pengumuman rasmi daripada pihak Boon Siew Honda.
- Kawasaki ZX-25R
Sejak Kawasaki mengembalikan jentera 250cc 4-inline ini – yang menghasilkan 50hp dan 22.9Nm – kami di MotoMalaya sering mendapat pertanyaan bilakah model ini akan dibawa masuk walhal kami sendiri sedang bertanyakan soalan sama.
Namun, segalanya terletak pada bahu Kawasaki Heavy Industries (KHI) dalam menentukan siapkah yang akan membawa masuk model ini sama ada kerjasama baharu bersama Modenas atau Kawasaki Malaysia Sdn Bhd (KMSB) sendiri.
Kawasaki ZX-25R terus menceutskan pelbagai tanda tanya tatkala telah pun dilancarkan di Indonesia dengan Thailand dan Filipina turut disahkan menerima model baharu ini.
- Yamaha Tracer 700
Yamaha Tracer 900 dan 900 GT merupakan motosikal ‘sport touring’ popular di Malaysia.
Model sport touring itu menjadi kegilaan tatkala menawarkan enjin CP3 847cc efisien yang terdapat pada MT-09 dan berterusan sehingga Hong Leong Yamaha Motor memperkenalkan Tracer 900 GT pada 2019.
Bagaimanapun, terdapat sebuah lagi model ‘sport touring’ yang masih belum dibawa masuk HLYM sehingga kini, Yamaha Tracer 700.
Jentera 689cc ini menawarkan 73.8hp pada 9000rpm dan 68Nm pada 6,500rpm.
Sekiranya diperkenalkan di Malaysia, pastinya akan menarik lebih ramai pembeli tatkala menawarka harga lebih rendah berbanding varian 900 yang ketika ini ditawarkan pada RM52,000.
- Honda Winner X
Setakat 2019, pengguna motosikal persendirian di Malaysia mencapai angka lebih 12 juta dengan rata-rata memiliki motosikal kapcai.
Meskipun begitu, terdapat sebuah model yang masih belum dibawa masuk ke pasaran tempatan, Honda Winner X.
Tahun lalu, ada khabar angin mengatakan model ini akan dibawa masuk hujung 2019 sebagai RS150R V2 namun apa yang berlaku Boon Siew Honda melancarkan model V2 berdasarkan Supra GT 150 yang diperkenalkan untuk pasaran Indonesia.
Honda Winner X ternyata tampil lebih moden apatah lagi menawarkan ciri keselamatan penting antaranya ABS.
- Yamaha TW200
Ini antara motosikal pilihan kami, diperkenalkan sejak 1987 motosikal 196cc satu silinder dual-sport ini sememangnya membawa imej tahan lasak sehingga Shinji Kazama sendiri menunggangnya ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.
Meskipun tidak menawarkan kuasa yang tinggi – hanya sekitar 16hp dan 15Nm – namun ketahanan ditawarkan TW200 ini tidak dapat dinafikan.
Sekiranya diperkenalkan di Malaysia – dengan model baharu telah pun dilancarkan di Amerika Syarikat pada 2018 – pastinya akan mencuri tumpuan pembeli yang mencari sesuatu yang boleh diasak setiap hari tanpa perlu risau dengan ketahanan jentera.
Persoalannya, adakah salah satu daripada jentera di atas akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat atau sekadar tinggal harapan?
Ikuti kami di YouTube dan Instagram!