Sejak dilancarkan di Thailand sekitar Ogos 2019, Yamaha XSR 155 bingkas mencuri tumpuan menerusi pengayaan cafe racer klasik.
Motosikal klasik retro itu didatangkan dengan enjin 155cc satu silinder SOHC VVA yang menawarkan 19hp pada 10,000 rpm dan tork sekitar 14.7Nm pada 8,500rpm.
Kemudian, pengeluar motosikal Jepun itu turut memperkenalkan XSR 155 di Indonesia beberapa bulan kemudian sebelum mengumumkan pelancaran bagi pasaran Filipina baru-baru ini.
Segmen motosikal bersesaran kecil sememangnya mendapat tempat di pasaran Asia Tenggara terutamanya menerusi susulan harga yang ditawarkan masih dalam lingkungan ‘mampu milik’.
Pada masa sama, gaya retro klasik itu mempunyai tarikan tersendiri apatah lagi datangnya daripada jenama motosikal yang kukuh.
Yamaha sememangnya popular di Malaysia terutamanya bagi segmen motosikal berenjin kecil menerusi R15, Y15Z-R, NMax dan NVX dengan masing-masing menawarkan enjin sekitar 155cc.
Bagaimanapun, dengan ketiadaan XSR 155 di Malaysia, motosikal dengan gaya retro klasik ini sebaliknya ditawarkan oleh dua jenama lain, Brixton dan GPX dengan kedua-keduanya ditawarkan dengan harga bawah RM10,000.
Bila agaknya kita berpeluang menyaksikan XSR 155 di pasaran tempatan?