Baru-baru ini, Volvo membuat keputusan untuk memperkenalkan had kelajuan 180 km/j bagi semua model dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya.
Senario itu turut mencetuskan pelbagai persoalan dengan ada yang menyokong dan sebaliknya.
Bagaimanapun, menurut ketua Volvo Cars Safety Centre, Malin Ekholm, 180km/j sudah cukup laju.
“Tiada sebab untuk pergi lebih laju daripada 180km/j. Semua orang bercakap tentang isu memandu dengan laju tetapi kami ingin menunjukkan bahawa kami serius dalam menangani masalah ini.
“Kami akan melaksanakan dialog mendalam mengenai perkara ini,” jelas Ekholm.
Dia turut mendedahkan rata-rata pelanggan Volvo menyambut baik usaha tersebut.
“Sebab utama mereka memilih Volvo adalah kerana kami memberi fokus terhadap keselamatan,” tambahnya.
Pada masa sama, Ekholm menjelaskan Volvo tidak merancang untuk menjelaskan apakah kelajuan yang selamat untuk dipandu.
“Saya menghadiri Persidangan Keselamatan Jalan Raya UN di Stockholm dan semua pihak termasuk ahli politik, penguatkuasa traik dan NGO bercakap tentang kelajuan.
“Kami mendapati semua pihak cuba memainkan peranan dalam hal ini dan sebagai pengeluar kenderaan, menghadkan kelajuan adalah usaha kami,” katanya.
Sementara itu, Volvo turut akan memperkenalkan Care Key, yang membenarkan pemilik untuk menghadkan kelajuan kereta apabila dipinjamkan ke orang lain. – Autocar
Ikuti kami di YouTube dan Instagram!