Valentino Rossi mengesahkan akan terus berlumba sehingga musim 2021 sekiranya perlumbaan tahun ini tidak diteruskan.
Pelumba berusia 41 tahun itu bakal digantikan Fabio Quartararo di Yamaha Factory memasuki 2021 namun berpeluang untuk terus beraksi bersama Petronas Sepang Racing Team (SRT) menggunakan jentera Factory Specs sebelum menamatkan karier.
Pada awalnya, Rossi merancang untuk menggunakan beberapa pusingan musim 2020 sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.
Bagaimanapun, rancangan itu tergendala susulan musim 2020 masih tergantung susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.
“Saya berada dalam situasi sukar kerana pilihan utama saya adalah untuk terus belumba.
“Saya mempunyai motivasi tinggi untuk meneruskan karier tetapi penting untuk saya mengenal pasti tahap kompetitif yang bakal dihadapai terutamanya memasuki separuh kedua musim.
“Saya merancang untuk berlumba antara lima hingga enam perlumbaan bersama ketua mekanik baharu dan cuba mengenal pasti sama ada saya mampu memberi saingan hebat.
“Bagaimanapun, perlumbaan tahun ini masih belum dapat diteruskan tetapi ini bermakna saya perlu membuat keputusan mengenai karier saya tanpa perlu berlumba.
“Jadi melihat kepada situasi ini adalah adil bagi saya untuk mencuba semusim lagi,” jelasnya menurut laman sesawang rasmi MotoGP.
Ketika saingan musim 2019, Rossi berjaya menduduki tempat ke-7 kejuaraan dunia dengan 174 mata namun gagal merekodkan sebarang kemenangan.
Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!