Pelumba MotoGP Aprilia Racing Team, Andrea Iannone, yang kini digantung 18 bulan susulan gagal ujian doping mengakui menyesal meninggalkan Ducati pada 2016.
Pengakuan itu dibuat ketika sesi soal jawab bersama Max Biaggi di laman sosial Instagram.
“Jika ada satu perkara yang saya dapat ubah, saya tidak sepatutnya meninggalkan Ducati.
“Musim 2015 dan 2016 cukup baik untuk saya. Jentera saya cukup pantas dan mampu memecut laju meskipun bergelut di selekoh.
“Ketika saya sertai Suzuki pada 2017, sebaliknya yang berlaku.
“Hari ini, kami perlu berkompromi dan mencari jentera yang memiliki daya membrek dan cengkaman yang baik,” jelasnya.
Bagaimanapun, Iannone sebenarnya disingkirkan Ducati pada penghujung 2016.
Perkara itu berlaku gara-gara tindakannya melanggar rakan sepasukan Andrea Dovizioso di selekoh terakhir GP Argentina lantas menyebabkan Ducati kehilangan kemenangan berganda.
Selepas dua musim bersama Suzuki, Iannone ditambat Aprilia pada 2019.
Ketika ini, Iannone sedang menjalani penggantungan 18 bulan oleh FIM selepas didapati gagal ujian doping di GP Malaysia.
Namun, pelumba berusia 31 tahun itu masih boleh membuat rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!