Demikian kenyataan dikeluarkan pelumba Red Bull KTM, Pol Espargaro, selepas ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang berakhir hujung minggu lalu.
Bagi yang skeptikal, kenyataan itu mungkin agak tak masuk akal, meletakkan KTM dan Ducati dalam satu ayat umpama satu dosa besar.
Bagaimanapun, bagi yang menjadi saksi di SIC sepanjang ujian pra-musim, Espargaro berjaya merekodkan aksi konsisten – berada dalam kelompok 10 terbaik bagi ketiga-tiga hari.
Aksi konsisten itu meletakkan dia setaraf Ducati meskipun ketika hari pertama dan kedua, Espargaro merekodkan masa yang lebih pantas.
Malah, pelumba uji, Dani Pedrosa, berjaya merekodkan masa ketiga terpantas pada hari kedua ujian, dipisahkan hanya 0.090 saat berbanding Fabio Quartararo.
Kejayaan KTM merupakan hasil daripada pengeluar motosikal Austria itu mencurahkan segalanya dalam membangunkan jentera RC16 bagi musim 2020.
Pol Espargaro ternyata bakal tonggak utama KTM musim ini, musim lalu dia mempamerkan aksi memberangsangkan terutamanya memasuki separuh kedua musim 2019 sebelum mengalami kecederaan di Aragon.
“Ujian pra-musim kali ini satu kejayaan bagi kami dan saya sangat gembira. Kami berjaya kekal dalam masa 10 terbaik sepanjang hari ujian.
“Sebelum ini kami hanya mampu melakukan masa terpantas dalam satu lap tetapi kali ini kami konsisten mengekalkan catatan itu,” jelas Espargaro menurut GPOne.
Difahamkan, antara faktor utama yang membawa perbezaan kali ini adalah penggunaan enjin dan swingarm serba baharu.
“Swingarm baharu ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Enjin serba baharu ini juga lebih berkuasa dan beraksi dengan baik secara keseluruhan, pengaliran kuasa juga sangat lancar dan ini membenarkan kami untuk memecut dengan lebih cepat,” tambahnya.
Ujian pra-musim akan bersambung di Litar Losail, Qatar sebelum saingan pembukaan tirai MotoGP 2020 berlangsung di litar sama pada 8 Mac ini.