Seorang pemandu wanita yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk telah menyebabkan kematian terhadap dua remaja yang menunggang motosikal di Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Pemandu wanita berusia 47 tahun tersebut yang memandu Toyota Vios difahamkan dalam perjalanan ke Kepala Batas selepas menghabiskan masa di sebuah pusat karaoke sebelum kejadian berlaku.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai:
- Muhamad Syaiful Hilmi Rosdi – 21 tahun
- Muhammad Amin Najmi Azaman – 19 tahun
Mereka disahkan maut dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 pagi itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, kedua-dua mangsa maut susulan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan tubuh.
Ini merupakan insiden kedua membabitkan pemandu mabuk yang berlaku di negeri itu dalam tempoh 72 jam.
Ahad lalu, seorang penunggang motosikal maut sementara pembonceng mengalami kecederaan serius setelah dilanggar dari belakang oleh pemandu mabuk yang memandu Perodua Alza.
(SUMBER: NST)