Ducati akhirnya mendedahkan Panigale V4 Superleggera 2020 selepas berminggu penantian.
Ramai yang menjangkakan jentera eksklusif ini akan diperkenalkan dalam masa terdekat selepas beberapa gambar termasuk spesifikasi jentera edisi terhad – hanya 500 unit dibina – ini bocor di internet.
Apatah lagi, beberapa klien penting Ducati telah menerima email secara langsung daripada Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali.
Panigale V4 Superleggera ini didatangkan dengan pelbagai teknologi terkini dan luar biasa meskipun tampak seakan-akan Panigale V4R.
Ini kerana, Superleggera ini merupakan V4R yang telah diselubungi gentian karbon – sekaligus menjadikan jentera ini 16 kilogram lebih ringan!
Perkara pertama yang paling menonjol adalah kehadiran biplane winglet yang tampak seakan kapal UFO mahluk asing sementara bahagian fairing didatangkan dengan livery Desmosedici GP-19.
Superleggera ini juga merupakan Panigale paling berkuasa dengan 224hp berjaya dihasilkan enjin 998cc Desmosedici Stradale.
Percaya atau tidak, Panigale V4 Superleggera ini hanya satu kilogram lebih berat berbanding Modenas Pulsar NS200!
Sistem penyerap hentakan pula dikendalikan fork tekanan Ohlins dan titanium shock manakala brek dikendalikan sepasang kaliper brek Brembo Stylema R.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan jentera unik ini, anda hanya perlu membelanjakan USD100,000 (RM413,500) dan Ducati akan turut sama menawarakan peluang menunggang WSBK Panigale V4 R dan Desmosedici GP20 di litar.