Reviu Modenas Pulsar NS200 ABS: Bukan Lagi ‘Aku Brek Sendiri’

Jangan salah faham, anda masih perlu mengenakan brek sendiri tetapi kali ini dipermudah dan lebih selamat dengan adanya ABS.

Selepas beberapa tahun sejak Bajaj memperkenalkan Pulsar NS200 di pasaran Malaysia menerusi penjenamaan semula Modenas, akhirnya versi ABS diperkenalkan.

Baru-baru ini, kami berpeluang menguji sendiri kemampuan versi ABS ini ketika sesi Media Ride yang dianjurkan Modenas yang melibatkan jarak sekitar 110 kilometer dari Shah Alam ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sebelum bercerita panjang tentang NS200 ABS ini, perlu diingatkan varian baharu ini masih mengekalkan semua ciri sama yang terdapat pada Pulsar NS200 tanpa ABS.

Apa itu ABS? Klik SINI kalau nak fahami lebih mendalam.

Dalam erti kata lain, ABS memastikan motosikal anda tidak terkunci tayar ketika membrek lantas memastikan jentera kekal stabil.

Bagaimanapun, tidak seperti ABS yang terdapat pada model Dominar D400 dan RS200 yang didatangkan dengan ABS dual-channel, Pulsar NS200 ABS dilengkapi dengan sistem single-channel khusus bagi tayar depan.

Agak mengecewakan tetapi memahami Bajaj/Modenas cuba mengekalkan harga bawah RM10,000 – NS200 ABS ditawarkan pada harga RM9,650 – memperkenalkan sistem single-channel memang relevan.

Soalan cepumas, sebagus mana sebenarnya varian ABS jika dibandingkan dengan tanpa ABS?

Sejujurnya kami memaklumkan bahawa ABS ini membuatkan situasi membrek lebih meyakinkan.

Sepanjang perjalanan yang ditempuhi, fungsi ABS ini sangat membantu meskipun ada kalanya kami merasakan ABS tersebut bertindak agak lambat seperti yang diharapkan – perlu diingatkan jentera yang kami uji belum habis ‘pantang’ dengan rata-rata merekodkan perbatuan sekitar 5km sahaja sebelum memulakan perjalanan.

Apa sekalipun, ciri lain turut menghasilkan keputusan positif dengan penggunaan kompaun tayar MRF yang lebih lembut sekaligus menghadirkan cengkaman yang baik.

Kami turut diberi peluang untuk menguji kelajuan NS200 ABS ini di atas lebuhraya dan telah merekodkan kelajuan sekitar 135 hingga 140km/j dengan speedometer betul-betul menyentuh kawasan ‘redline’.

Secara keseluruhan, Modenas NS200 ABS ini menghadirkan fungsi yang sesuai bagi yang mencari keterujaan dalam kawasan bandar dan tunggangan di laluan berselekoh – sebagai contoh, Kuala Klawang dan Ulu Yam.

Lebih penting, tiada jentera bersesaran 200cc dengan kemampuan ABS lain yang mampu menawarkan harga bawah RM10 ribu.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply