Dari Masalah Kewangan Ke Kes Penipuan, Norton Motorcycle Bakal Terkubur?

Norton Commando Sport

Baru-baru ini, media luar melaporkan Norton Motorcycle berdepan masalah kewangan yang serius sehingga gagal menjelaskan cukai.

Mereka kini ditempatkan dalam pentadbiran atas kegagalan melunaskan cukai di samping tidak mampu menyiapkan tempahan motosikal.

Senario ini sekaligus menyaksikan lebih 100 pekerja di kilang Castle Donington berdepan dilema.

Ditubuhkan di Birmingham, Norton mula menghasilkan motosikal seawal tahun 1902 sebelum terlibat dalam perlumbaan Isle of Man TT.

Antara jentera yang terkenal adalah Dominator dan Commando sementara Interpol dipilih sebagai jentera rasmi polis United Kingdom pada 1980.

Norton Dominator

Norton berdepan masalah kewangan bermula tahun 2008, tetapi diselamatkan jutawan pemaju, Stuart Garner.

Pada Mei tahun lalu, tatkala terdapat khabar angin syarikat itu kembali bergelut, Garner bagaimanapun menegaskan perniagaan mereka kukuh di samping mendedahkan akan membuka kilang baharu.

Stuart Garner

Bagaimanapun, awal tahun ini, dia kemudiannya memaklumkan Norton mempunyai tunggakan cukai sekitar GBP300,000 (RM1.6 juta).

Bukan itu sahaja, dua lagi syarikat milik Garner turut dibawa ke pentadbiran.

RideApart pernah melaporkan situasi kewangan Norton pada 2019 namun dibidas Garner sendiri yang menegaskan dakwaan itu tidak berasas.

Norton V4 RR

Pada hujung 2018, Norton membuka tempahan awal bagi model Atlas 650 dan V4 RR dan walaupun telah menerima banyak tempahan – dengan bayaran penuh – daripada pelanggan yang masih meletakkan kepercayaan, tidak ada satu unit pun yang berjaya dihasilkan apatah lagi diserahkan kepada pelanggan sehingga kini.

Norton Atlas Ranger

Norton Motorcycle mendakwa mereka tidak ada kewangan yang mencukupi untuk menghasilkan jentera terbabit meskipun mendapat suntikan kewangan daripada kerajaan dan bantuan pinjaman.

Kini, Norton dan Stuart Garner didakwa terlibat dalam kes penipuan persaraan yang membabitkan lebih ratusan ribu dollar Amerika.

Jadi dilihat dari mata kasar, masa depan Norton Motorcycle tampak gelap melainkan ada ‘penyelamat’ baharu namun dengan Brexit telah pun dilaksanakan, kebarangkalian untuk Norton terkubur agak tinggi.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]