Bekas pelumba MotoGP, Anthony West, melabelkan FIM sebagai korup selepas dia dituduh melanggar penggantungan doping oleh badan permotoran dunia itu.
Dia turut mendakwa juara dunia semasa MotoGP, Marc Marquez dan Valentino Rossi sering kali melakukan penipuan bagi merebut kejuaraan dunia.
Segala luahan itu dilakukan menerusi akaun Facebook miliknya:
West bergelut dengan kariernya di litar lumba susulan digantung FIM pada September 2018 ekoran gagal ujian doping buat kali kedua dalam kariernya.
Meskipun digantung, dia membuat keputusan beraksi di Kejohanan Superbike Brazil kerana mempercayai saingan itu tidak berada di bawah kuasa FIM.
Bagaimanapun, dia kemudiannya mendapat amaran dari pihak FIM yang memaklumkan bahawa dia telah melanggar penggantungan yang telah ditetapkan apabila berlumba dengan pasukan Kawasaki Brazil.
Dia turut dipanggil untuk menghadiri FIM International Disciplinary Court bagi menjelaskan tindakannya di samping digesa untuk tidak menyertai sebarang perlumbaan lain sehingga kesnya dibincangkan.
Berang dengan tindakan ini, West kemudiannya menyelar FIM sebagai badan yang korup kerana ‘mereka’ peraturan sendiri agar dia tidak dapat beraksi.
Bukan itu sahaja, dia turut menuduh FIM membenarkan Marquez untuk menjuarai Kejuaraan Moto2 Dunia dengan bantuan ECU khas sementara kejuaraan dunia 500GP Rossi dibantu dengan tayar khas.
Menurut perkongsian di Facebook, West turut menegaskan dia kini mahu bersara daripada arena perlumbaan.