Sebut tentang Toyota, rata-rata mengaitkan syarikat gergasi itu dengan penghasilkan kenderaan empat roda namun pengeluar kereta Jepun itu mengumumkan perancangan masa depan baharu ketika di Pameran Elektrik Pengguna (CES) 2020.
Toyota bercadang membina sebuah bandar prototaip yang diberi nama Woven City di kaki gunung Fuji.
Menurut Toyota, bandar baharu itu akan dihubungkan sepenuhnya menerusi penggunaan bahan api hidrogen bagi menggerakkan keseluruhan ekosistem bandar terbabit.
Bertindak sebagai makmal gergasi, Woven City akan menempatkan penyelidik yang akan melaksanakan pelbagai ujian dan pembangunan teknologi antaranya autonomi, robotik, mobiliti persendirian dan A.I.
“Membina sebuah bandar memberikan peluang unik untuk membangunkan teknologo baharu bagi masa depan termasuk sistem operasi bagi seluruh infrastruktur bandar.
“Orang ramai, bangunan dan setiap kenderaan akan berhubung antara satu sama lain menerusi sensor dan data sekaligus memaksimumkan potensi,” jelas Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda.
Bagi memastikan perlaksanaan ini lancar, Toyota turut menjemput rakan kongsi komersil dan akademik termasuk saintis dan penyelidik seluruh dunia.
“Kami menjemput semua yang mahu mewujudkan masa depan yang lebih baik dan mengambill peluang ini untuk wujud dalam satu ekosistem unik ini,” tambah Akio lagi.
Rekaan keseluruhan Woven City akan diterajui arkitek Denmark, Bjarke Ingels dari Bjarke Ingels Group. Individu yang bertanggungjawab menghasilkan World Trade Centre, Lego House dan Google Mountain View.
Upacara pecah tanah dijangka bermula awal 2021.