Rolls-Royce Lakar Rekod Penjualan Tertinggi Bagi 2019

Ketika pengeluar kereta lain masih lagi dalam proses mengumpul data penjualan bagi 2019, Rolls-Royce Motor Car mengumumkan jumlah penjualan tertinggi dalam sejarah 116 tahun syarikat itu.

Sejumlah 5,152 kenderaan dengan lencana RR telah diserahkan kepada pelanggan di lebih 50 negara seluruh dunia sekaligus menandakan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Data ini sekaligus membuktikan Rolls-Royce terus relevan dalam membuat sumbangan terhadap pemegang saham, BMW Group.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rolls-Royce, Torsten Muller menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti komitmen dalam meletakkan pelanggan Rolls-Royce di tahap tertinggi.

“Prestasi tahun 2019 menandakan magnitud baharu berbanding 2018. Sambil meraikan kejayaan ini, kami tetap komited dalam memastikan jenama ini terus eksklusif.

“Permintaan tinggi bagi model SUV – Cullinan – ternyata menjadi penyuntik utama terhadap kejayaan ini dan kami menjangkakan penjualan ini akan terus stabil bagi tahun 2020,” jelasnya.

Menariknya, penjualan Rolls-Royce meningkat diseluruh dunia termasuk pasaran Amerika Utara, China dan Eropah – termasuk United Kingdom.

Rekod penjualan baharu turut dicatat di negara lain antaranya, Russia, Singapura, Jepun, Australia, Qatar dan Korea.

Model Phantom terus kekal sebagai peneraju utama menerusi varian Dawn dan Wraith namun model Cullinan merekodkan tempahan tertinggi dalam sejarah penjualan Rolls-Royce.

Sementara itu, tahun 2019 turut muncul tahun terakhir model Phantom Ghost dihasilkan, 11 tahun sejak diperkenalkan di Pameran Motor Frankfurt 2009.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]