Selepas lebih lima jam perlumbaan diberhentikan, perlumbaan sulung Sepang 8 Hours akhirnya menyaksikan pasukan YART Yamaha muncul juara pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Perlumbaan yang dijadualkan bermula pada jam 1 tengah hari tadi terpaksa ditunda sehingga lewat petang susulan hujan lebat.
Meskipun terdapat beberapa tinjauan dilakukan oleh kesemua 50 pelumba dengan pemantauan ‘Safety Car’ namun keadaan hujan yang tidak berhenti memaksa perlumbaan ditunda sehingga jam enam petang.
Bagaimanapun, perlumbaan dalam kalendar FIM Endurance World Championship (EWC) ini terpaksa dimulakan dengan pengemudian Safety Car sekaligus ketiadaan permulaan ikonik yang memerlukan pelumba berlari ke jentera masing-masing.
Sebaik dimulakan selepas beberapa pusingan, berlaku insiden perlanggaran melibatkan pelumba Petronas SIC, Michael van der Mark dan Mike Di Meglio dari pasukan F.C.C. TSR Honda France.
FCC TSR Honda France kemudian medahului baki perlumbaan sebelum Di Meglio terbabas lantas membuka peluang kepada YART Yamaha yang diterajui Niccolo Canepa, Broc Parks dan Karel Hanika.
Tempat kedua jadi milik pasukan Honda Asia Dream Racing With Show diikuti BMW Motorrad EWC ketiga.
Sementara itu, PETRONAS SIC Racing Team yang diterajui Michael van der Mark, Franco Morbidelli dan Hafizh Syahrin terpaksa berpuas hati dikedudukan kesembilan.
Pada masa sama, Hafizh, selaku pelumba ketiga, tidak dapat turun beraksi gara-gara perlumbaan bermula lewat.