Baru-baru ini, seorang mekanik di Melaka membuat luahan di Facebook apabila simpati yang diterimanya oleh orang ramai mula memberi kesan terhadap perniagaannya.
Pak Busu, seorang mekanik OKU (orang kurang upaya) mendedahkan dia kini bergelut untuk menyara keluarganya gara-gara orang ramai simpati dengan keadaan fizikalnya.
Bagaimanapun, Pak Busu menegaskan dia tidak memerlukan simpati sebaliknya mahu mencari rezeki agar dapat menjaga isteri dan membesarkan dua anaknya.
“Orang ramai enggan menghantar kereta mereka untuk dibaiki kerana bersimpati dengan saya.
“Jangan kesiankan saya, sebaliknya kesiankan anak dan isteri saya yang berlapar.
“Ini tanggungjawab saya untuk mencari rezeki demi keluarga saya. Saya perlu memberi duit belanja sekolah, bayar bil air dan elektrik serta duit sewa,” jelas Pak Busu dalam perkongsiannya di Facebook.
Dia turut menggesa agar orang ramai menghantar kenderaan mereka yang rosak ke bengkelnya IM Auto Garage di Jalan Batu Hampar agar dia dapat menyara keluarganya.
Perkongsian tersebut telah pun merekodkan lebih 5 ribu ‘share’ dan lebih 600 komen.