Cal Crutchlow mengakui kecewa dengan Honda yang menolak permintaannya untuk mengembalikan tiga krew HRC yang sebelum ini bersamanya di LCR Honda.
Ketiga-tiga jurutera terbabit meninggalkan garaj LCR hujung 2018 bagi membantu Jorge Lorenzo musim ini.
Tindakan tersebut mendapat tentangan daripada Crutchlow dan ketua krew, Christophe Bourguinon pada tahun sama.
Bagaimanapun, Crutchlow berasakan HRC seharusnya memulangkan ketiga-tiga individu terbabit -Arlan Holterman, Marco Barbiani dan Gianni Berti – tatkala Lorenzo telah pun bersara sementara Alex Marquez masih dalam proses menyesuaikan diri.
“Honda telah mengambil beberapa krew saya dan situasi ini amat mengecewakan. Mereka sepatutnya cuba bantu untuk menguatkan jentera saya bukan sebaliknya.
“Mereka seharusnya memulangkan tiga individu terbabit kerana mereka akan memberi kesan besar terhadap jentera saya berbanding Alex yang masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera MotoGP.
“Tetapi mereka menolak permintaan saya, jadi saya terpaksa menerima keputusan ini,” jelasnya.
(SUMBER: Crash.net)