Seorang lelaki yang menyamar sebagai Ejen-Pemilikan Semula (EPS) dengan bertujuan untuk mencuri kereta berjaya digagalkan pihak polis di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, kelmarin.
Kegiatan lelaki tersebut berjaya dihidu sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di RnR terbabit
Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun itu berjaya melarikan diri ketika pemeriksaan namun hadir ke pejabat KPDNHEP dalam percubaan untuk mendapatkan semula permit EPS palsu sebelum ditahan, semalam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, pemantaun tersebut dijalankan selepas menerima laporan mengenai kegiatan penipuan tarik kereta di RnR Seremban.
“Pegawai KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang memakai kad EPS namun ketika cuba meneliti kad terbabit, suspek telah melarikan diri.
“Pegawai KPDNHEP telah membuat pemeriksaan dan mendapati permit tersebut adalah palsu.
“Suspek bagaimanapun hadir ke pejabat KPDNHEP pada hari berikutnya dalam percubaan untuk mendapakan semula kad palsu terbabit sebelum ditahan,” jelasnya kepada Harian Metro.
(SUMBER: Harian Metro)