Jake Dixon Sah Sertai Petronas Sprinta Di Moto2 Musim Depan

Sumber: Jake Dixon @ Twitter

Selang 24 jam selepas Hafizh Syahrin sah menjadi pelumba Angel Nieto di Moto2 musim depan, bekas pelumba pasukan itu, Jake Dixon, pula disahkan menjadi tonggak baharu Petronas Sprinta bagi tahun 2020.

Dixon bakal digandingkan dengan Xavi Vierge tatkala pasukan Petronas Sprinta memasuki musim ketiga di segmen Moto2.

Musim 2019 merupakan penampilan sulung Dixon di kelas Moto2 selepas meraih tempat kedua di Kejohanan Superbike Britain 2018.

Perlumba berusia 23 tahun itu dijangka akan mendapat peluang merasai jentera pasukan baharunya itu sebaik musim 2019 berakhir.

“Saya amat teruja untuk menyertai Petronas Sprinta Racing. Pasukan ini cukup hebat, buktiknya kejayaan yang mereka capai dalam kelas MotoGP dan Moto3.

“Peluang ini amat besar untuk saya jadi saya akan berikan segala-galanya menuju musim depan meskipun musim 2019 sangat mencabar.

“Ketika ini masih tiada sasaran diletakkan tetapi saya yakin segalanya akan ditentukan selepas sesi ujian nanti,” jelas Dixon.

Sementara itu, pengurus pasukan, Dato Razlan Razali menyifatkan Dixon sebagai pelumba yang tepat untuk memperkuat pasukan.

“Kami menjangkakan keputusan yang baik musim depan depan di Moto2 kerana dia berjaya muncul juara dalam aksi sulung di Kejuaraan Superbike Britain pada 2017 sebelum muncul tempat kedua dalam musim berikutnya.

“Kami teruja kerana untuk pertama kalinya akan mempertaruhkan dua pelumba di Moto2 musim depan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hafizh Syahrin mengisi kekosongan ditinggalkan Jake Dixon di Angel Nieto bagi saingan Moto2 musim depan.

Pelumba negara itu mengesahkan sertai pasukan baharu bagi tahun 2020 tatkala kontraknya bersama KTM Tech3 tidak lagi disambung selepas pasukan satelit itu memilih Brad Binder sebagai pengganti.

Bagaimanapun, Hafizh difahamkan tidak akan menerima sebarang pembayaran gaji sebaliknya ditawarkan insentif sekiranya berjaya melakar keputusan memberangsangkan musim depan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]