Jika sebut tentang motosikal adventure, model yang sering akan menjadi bualan orang ramai adalah BMW GS dan GS Adventure, Honda Africa Twin dan KTM Adventure 1050.
Tetapi dalam buku MotoMalaya, motosikal adventure pilihan kami adalah Triumph Tiger 800 XRX dan XCX 2018.
Tatkala kebanyakan pengeluar lain berlumba-lumba dalam mengejar saiz dan kuasa, Triumph memastikan mereka tidak terkesan dengan perlumbaan itu sebaliknya enjin 800cc tiga silinder dengan penyejuk cecair, 12 injap, DOHC – yang menjana 95hp – sudah memadai untuk memberikan pengalaman tunggangan jarak jauh yang terbaik.
Julai lalu, MotoMalaya bersama-sama Triumph Malaysia dijemput menyertai pengembaraan dari Kuala Lumpur (KL) ke Koh Samui dan kembali ke tanah air dalam perjalanan yang memakan masa lima hari.
MotoMalaya telah diberikan Triumph Tiger 800 XCX sebagai pasangan utama sepanjang tempoh pengembaraan tersebut dan ternyata kami tergaman dengan prestasi keseluruhan jentera.
Teringat kembali kata-kata daripada sahabat di BikesRepublic apabila dimaklumkan bahawa MotoMalaya akan diberikan Tiger 800, “Once you tried the Tiger, every other bikes will feel like crap”.
Hakikatnya, artikel ini boleh diakhiri dengan kenyataan pendek tapi kompak itu namun keterujaan Tiger 800 tiada penghujungnya.
Perlu diingatkan jentera yang dipinjamkan itu merupakan model 2018 yang telah dikemas kini sekaligus memiliki lampu depan LED dengan keupayaan Daytime Running Light (DRL) dan cermin depan boleh laras.
Tetapi kami cukup gemar dengan paparan TFT-LCD berwarna yang diguna pakai. Mudah dibaca di waktu panas terik dan tampak cukup jelas ketika waktu malam.
Bagaimanapun, faktor utama yang membuatkan keseluruhan tunggangan ketika menempuh perjalanan 1,800KM itu kekal selesa dan tidak memenatkan adalah sistem cruise control yang ditawarkan pada Tiger 800 XCX dan XRX.
Hanya setkan kelajuan diingini – 161km/j kelajuan maksima dibenarkan ketika cruise control – dan perjalanan berjam-jam dari KL ke sempadan tidak lagi dihujani keluhan sebaliknya kagum dengan enjin yang menawarkan kestabilan tinggi.
Jika hendak mematikan sistem tersebut, penunggang hanya perlu menekan brek tangan dengan perlahan dan kembali mengawal kelajuan dengan pendikit seperti biasa.
Perlu diingatkan, Tiger 800 XCX dan XRX menawarkan pengalaman tunggangan berbeza tatkala XCX lebih terarah kepada off-road manakala XRX direka khas bagi penunggang yang gemar dengan tunggangan jarak jauh.
Sejujurnya, sesiapa pun akan mengatakan bahwa Triumph Tiger 800 XCX kelihatan jauh lebih ‘jahat’ berbanding XRX terutamanya dengan penggunaan rim ‘wire-spoked’ di tambah dengan enjin guard dan sebagainya.
Namun, melihat dari aspek praktikal, Tiger XRX berjaya melaksanakan tugas dengan baik dengan penggunaan rim ‘cast aluminium’ 19 inci depan dan 17 inci belakang.
Fork 43mm WP di bahagian depan dan penyerap hentakan Showa 180 mm yang terdapat pada XRX serta sistem ABS turut memastikan pengalaman sepanjang tunggangan kekal selesa. Dalam erti kata mudah, “Setakat lubang-lubang kecil di Malaysia dan Thailand, apa ada hal!”.
Berbeza dengan XCX yang didatangkan dengan tempat duduk berketinggian 840mm hingga 860mm, XRX lebih memaafkan untuk penunggang yang gayat dengan ketinggian sekitar 810mm hingga 830mm. Pada pendapat kami, ketinggian tempat duduk ini sudah cukup memadai.
Bagi kami di MotoMalaya, tiada cara yang lebih baik untuk menguji kemampuan sebuah motosikal adventure selain daripada menempuh perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Koh Samui dan kembali ke tanah air dalam perjalanan yang memakan lebih 1,800km dan tidak sekalipun Triumph Tiger 800 XRX ini mengecewakan.